Selangor lancar kempen perangi vandalisme infrastruktur telekomunikasi
- Azuan Ab Rahman

- May 20
- 1 min read

Kerajaan Selangor melancarkan kempen perangi vandalisme infrastruktur telekomunikasi bagi memperkukuh perlindungan terhadap infrastruktur tersebut di seluruh negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, kempen tersebut digerakkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) susulan kes vandalisme dan kecurian kabel telekomunikasi menjejaskan capaian internet, komunikasi harian, operasi perniagaan, pembelajaran digital serta perkhidmatan kecemasan di negeri itu.
"Selangor bersama Kuala Lumpur turut mencatat jumlah kes tertinggi di peringkat nasional bagi tahun 2025.
"Situasi ini menyebabkan kerugian besar kepada industri selain memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat," katanya dalam kenyataan.
Selangor merekodkan jumlah kes tertinggi vandalisme infrastruktur telekomunikasi dengan 1,836 kes pada 2024, diikuti 1,273 kes pada 2025.
Amirudin sementara itu memaklumkan, antara langkah diperkenalkan ialah penubuhan Jawatankuasa Khas Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi yang melibatkan MCMC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Selain itu, pelaksanaan sesi literasi dan kesedaran awam bersama agensi penguat kuasa dan pemain industri turut dijalankan, termasuk program kesedaran bersasar di kawasan berisiko tinggi.
Beliau dalam masa sama menegaskan bahawa keselamatan infrastruktur telekomunikasi merupakan elemen penting dalam memastikan pembangunan digital Selangor terus berkembang secara stabil, selamat dan mampan.
Justeru, usaha melindungi infrastruktur telekomunikasi bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau pihak industri semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat.
"Peranan penduduk setempat, guru, ibu bapa, golongan belia, ketua kampung serta pemimpin komuniti amat penting dalam meningkatkan kesedaran.
"Masyarakat juga digalakkan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya terdapat aktiviti mencurigakan melibatkan aset telekomunikasi," tambahnya.




Comments