Selangor lancar JALUR, 115 projek strategik jaringan jalan hingga 2035


Selangor hari ini melancarkan Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR Selangor), rancangan sedekad yang menggariskan 115 cadangan strategik bagi memperkukuh jaringan perhubungan, menyuraikan trafik dan merapatkan jurang pembangunan antara daerah.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pelan itu akan menjadi rujukan utama kerajaan negeri dalam perancangan dan pembangunan infrastruktur jalan bagi tempoh 10 tahun akan datang, selaras dengan agenda Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
"JALUR Selangor bukan sekadar pelan pembangunan jalan malah menjadi pemboleh daya fizikal kepada agenda pembangunan negeri dengan memastikan keterhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar dapat dipertingkatkan.
"JALUR Selangor dirangka secara holistik untuk menjadi kompas fizikal yang menjajarkan dasar utama RS-2.
"Kita menghentikan pendekatan perancangan secara silo dan beralih kepada prinsip ‘tiada daerah tertinggal di belakang'," katanya ketika melancarkan JALUR Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam hari ini.
Amirudin berkata pelan itu mengandungi 35 cadangan pembinaan laluan terputus (missing link), 64 projek menaik taraf jalan raya serta 16 cadangan menaik taraf persimpangan utama termasuk pembinaan jejambat dan elevated ramps.
Jelas beliau, keseluruhan cadangan itu dirangka berdasarkan pendekatan berasaskan data bagi menangani cabaran mobiliti yang semakin kompleks susulan pertumbuhan penduduk dan ekonomi Selangor.
Beliau berkata Selangor kini mempunyai kira-kira 7.5 juta penduduk di sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT), menjadikan kecekapan jaringan perhubungan antara keperluan utama dalam mencapai sasaran RS-2 untuk menjadikan Selangor negeri pertama bernilai ekonomi RM500 bilion.
Antara tumpuan JALUR Selangor ialah memperkukuh jaringan jalan mengikut zon pembangunan yang dikenal pasti dalam RS-2, termasuk Sabak Bernam, Selangor Selatan serta kawasan sekitar KLIA dan Subang, ujarnya dalam teks ucapan yang dikongsi kepada Suara Keadilan.
Bagi Zon SABDA di Sabak Bernam, antara cadangan ialah menaik taraf Jalan B44 (Jalan Sungai Panjang) dan Jalan B110 (Jalan Terusan Utama) kepada piawaian R4 selain pembinaan atau pembesaran beberapa jambatan termasuk Jambatan Kampung Tanjung Medan dan Jambatan Panchang Bedena.
Langkah itu dijangka menyokong pergerakan hasil pertanian dan perikanan dari utara Selangor ke pasaran utama, selari dengan agenda SABDA untuk mengintegrasikan sektor pertanian, perikanan dan eko-pelancongan.
Di Selangor Selatan pula, pelan berkenaan mencadangkan penaiktarafan Lebuhraya SKVE (E26), Jalan Kebun Baru, Jalan Johan Setia (B10) dan Jalan Telok Gong (B148) kepada jalan berkembar empat lorong.
Ia turut merangkumi cadangan missing link yang menghubungkan Lebuhraya WCE (E32) serta pembinaan jejambat bagi meningkatkan akses ke hab logistik dan kawasan pembangunan sekitar Pelabuhan Ketiga Pulau Carey.
Bagi Zon Aeropolis yang merangkumi KLIA dan Subang, antara cadangan ialah pembinaan missing link dan jalan baharu termasuk sambungan KLIA-B44/B48 serta Lebuhraya Senawang-KLIA selain menaik taraf Jalan Lapangan Terbang Subang (FT15).
Pada masa sama, JALUR Selangor turut mengambil kira keperluan mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian menerusi peralihan mod pengangkutan.
Amirudin berkata sasaran RS-2 ialah mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penggunaan pengangkutan awam dengan JALUR menyokong integrasi jaringan rel termasuk LRT3, MRT dan cadangan Jajaran Rel KitaSelangor.
Sistem itu akan disokong oleh pengangkutan awam atas permintaan (Demand-Responsive Transit atau DRT), bas pengantara serta kemudahan Park & Ride.
Pendekatan tersebut selari dengan perancangan mobiliti Selangor yang sebelum ini memberi tumpuan kepada pengangkutan bersepadu berasaskan data di 12 PBT, peningkatan kesalinghubungan jarak terakhir serta pembangunan bandar mesra pejalan kaki.
Amirudin berkata asas kepada keseluruhan perancangan itu ialah konsep keadilan mobiliti dengan pembangunan infrastruktur perlu memberi manfaat kepada rakyat merentasi daerah dan bukan hanya tertumpu di kawasan berpertumbuhan tinggi.
"JALUR Selangor ialah dokumen rujukan dasar (blueprint) rasmi yang perlu menjadi panduan oleh semua agensi Persekutuan, Jabatan Negeri, 12 PBT serta rakan pemaju swasta.
"Setiap kelulusan perancangan guna tanah dan infrastruktur negeri perlu berjalan seiring dengan panduan dalam pelan strategik ini," katanya.




Comments