Malaysia, Pakistan kukuh kerjasama pertahanan, redakan ketegangan Asia Barat


Malaysia dan Pakistan bersepakat memperkukuh hubungan dua hala dalam bidang pertahanan dan keselamatan termasuk menerusi kerjasama tiga hala bersama Turkiye serta penerokaan kolaborasi dalam keselamatan maritim dan usaha membanteras keganasan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata komitmen itu dizahirkan ketika beliau menerima kunjungan hormat Ketua Staf Tentera Darat merangkap Ketua Angkatan Pertahanan Pakistan, Field Marshal Syed Asim Munir di Putrajaya hari ini.
"Malaysia dan Pakistan turut berkongsi komitmen untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan termasuk melalui kerjasama tiga hala bersama Türkiye selain meneroka ruang kolaborasi dalam keselamatan maritim dan usaha membanteras keganasan," katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pertemuan berkenaan, Anwar turut merakamkan ucapan tahniah kepada Syed Asim Munir atas pemasyhuran beliau ke dalam ‘Hall of Fame’ Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) Malaysia.
"Pertemuan ini membuka ruang untuk kami bertukar pandangan terkait perkembangan keselamatan serantau dan antarabangsa termasuk usaha meredakan ketegangan di Asia Barat serta kepentingan menjamin keselamatan maritim global.
"Ia juga menyentuh keperluan mengutamakan dialog dan kawalan diri dalam menangani ketegangan di sempadan dengan menghormati kedaulatan negara dan melindungi orang awam," katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.
Anwar turut menegaskan kerjasama erat antara Kuala Lumpur dan Islamabad amat penting dalam mendukung keamanan, kestabilan serta keselamatan bersama khususnya di rantau ini.
Untuk rekod, hubungan pertahanan antara Malaysia dan Pakistan telah terjalin kukuh menerusi platform Jawatankuasa Bersama Mengenai Kerjasama Pertahanan (JCDC) termasuk penganjuran mesyuarat edisi ke-16 di Rawalpindi bulan lalu yang menumpukan kepada pemindahan teknologi dan rantaian industri pertahanan.
Selain itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Darat Pakistan aktif menjalankan latihan ketenteraan dua hala termasuk siri latihan membanteras keganasan Exercise Harimau Markhor bagi berkongsi pengalaman tempur dan memperkemas prosedur operasi.
Malaysia dan Pakistan mempunyai sejarah panjang dalam pertukaran kursus pegawai tentera di institusi latihan masing-masing termasuk di MTAT yang turut menyaksikan Syed Asim Munir sebagai salah seorang alumni terkemuka yang dimasyhurkan ke Hall of Fame institusi berkenaan.
Kedua-dua negara juga merupakan penyumbang aktif dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta sering berkongsi pendirian dalam mengutamakan penyelesaian konflik antarabangsa secara aman melalui saluran diplomasi.




Comments