top of page

Perang Iran: Malaysia, Pakistan gesa gencatan senjata

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 2h
  • 2 min read
DS Anwar mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatannya Shehbaz Sharif
DS Anwar mengadakan perbincangan bersama rakan sejawatannya Shehbaz Sharif

Semua pihak yang terlibat dalam ketegangan di Asia Barat perlu segera menghentikan serangan dan melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat, demikian pendirian diambil dua negara Islam, Malaysia dan Pakistan.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatannya Shehbaz Sharif dalam perbincangan melalui panggilan telefon petang semalam menyatakan pihak terbabit perlu kembali ke meja rundingan untuk meredakan ketegangan yang kian memuncak.


"Kami turut senada bahawa semua pihak yang terlibat perlu segera menghentikan serangan, melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan kembali ke meja rundingan bagi meredakan ketegangan yang semakin memuncak," kata beliau dalam hantaran di media sosial malam tadi.


Anwar berkata beliau dan Shehbaz yang bertukar pandangan berhubung perkembangan di Asia Barat berkongsi kebimbangan terhadap situasi yang semakin meruncing susulan serangan rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat (AS).


"Saya menegaskan tindakan ini merupakan pencabulan terhadap prinsip undang-undang antarabangsa serta Piagam PBB," katanya.


Perdana Menteri turut menekankan kepentingan menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah semua negara serta keperluan mendesak untuk menahan diri, meredakan ketegangan dan diplomasi.


"Saya menegaskan bahawa semua pihak perlu menahan diri dan mengelakkan tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.


"Malaysia menggesa agar ketegangan ini ditangani melalui dialog dan saluran diplomatik," katanya.


Perang AS-Iran tercetus apabila negara kuasa besar itu bersama sekutunya Israel melancarkan serangan pada 28 Februari lalu ke atas Iran yang hingga kini lebih 1,000 telah terkorban termasuk ratusan kanak-kanak apabila ia menyasarkan sebuah sekolah.


Ketegangan kian memuncak apabila serangan AS membunuh pemimpin tertinggi Iran Ayatullah Sayyid Ali Khamenei yang turut disahkan republik Islam itu.


Iran bertindak balas terhadap serangan AS-Israel itu dengan melancarkan peluru berpandu ke arah sasaran Israel serta aset ketenteraan AS di beberapa negara Arab di rantau berkenaan.


Konflik tersebut menyebabkan mengganggu trafik udara dan perkapalan dengan risiko yang semakin meningkat terhadap bekalan tenaga dan makanan.


Ketika konflik memuncak di Asia Barat, Pakistan juga terlibat dalam konfrontasi dengan pentadbiran Taliban di Afghanistan.


Sementara itu, Anwar turut mengadakan perbualan telefon dengan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan, petik laporan Bernama.


Dalam satu kenyataan, Kepresidenan Turkiye menyatakan kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan dua hala Turkiye-Malaysia serta perkembangan serantau dan global.


Kenyataan itu menyatakan Turkiye mengikuti rapat konflik di Iran yang kini merebak sambil memberi amaran jika ia berterusan, seluruh rantau itu mungkin diheret ke dalam lebih banyak masalah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page