top of page

Malaysia-Pakistan perkukuh kerjasama strategik ekonomi, pertahanan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 6
  • 2 min read

DS Anwar meraikan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Putrajaya sebagai tetamu negara
DS Anwar meraikan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif di Putrajaya sebagai tetamu negara

Malaysia dan Pakistan sepakat memperkukuh hubungan dua hala dengan memberi tumpuan kepada bidang ekonomi, pertahanan serta penerokaan sektor baharu termasuk tenaga, digital dan semikonduktor, ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara yang terjalin sejak kemerdekaan Malaysia pada 1957 perlu terus diperkasa melalui kerjasama strategik dan menyeluruh.


"Malaysia dan Pakistan mempunyai hubungan persaudaraan yang akrab sejak 1957 lagi, sementara Pakistan telah merdeka lebih awal di bawah pimpinan Quaid-e-Azam pada 1947.


"Hubungan sejarah, kebudayaan, pendidikan dan pertahanan antara kita terus berkembang. Namun aspirasi bersama kita ialah untuk memperkukuh lagi kerjasama ini," katanya dipetik pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif sempena lawatan rasmi pemimpin berkenaan ke Malaysia hari ini.


Anwar berkata kedua-dua negara bersetuju memperluas kerjasama dalam bidang pertanian, tenaga, digital dan teknologi baharu selain menumpukan perhatian kepada peningkatan kemahiran melalui TVET, STEM, inovasi dan semikonduktor.


"Perdana Menteri Shehbaz turut menggalakkan kita memperkukuh kerjasama dalam bidang sains, teknologi, inovasi, TVET, digital dan semikonduktor.


"Ini bidang baharu yang penting. Pakistan antara negara Islam yang dahulu pernah mendahului dalam bidang ini dan kini apabila kita telah mencapai kestabilan dalam negara, Malaysia amat mengalu-alukan kerjasama lanjut," ujarnya.


Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa Malaysia akan meningkatkan import beras dan daging lembu dari Pakistan dengan jaminan harga yang kompetitif serta nilai perdagangan dianggarkan mencecah AS$200 juta.


"Kita telah meningkatkan import beras dari Pakistan dan kini ada juga minat untuk mengimport daging ke Malaysia. Kita akan memudahkannya, dengan jaminan harga yang kompetitif," katanya.


Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan rakyat Pakistan di Malaysia termasuk golongan profesional, pekerja dan pelajar universiti, serta memberi jaminan bahawa mereka yang menunjukkan kecemerlangan akan diberi peluang untuk terus menyumbang di negara ini.


Dalam aspek antarabangsa, kedua-dua pemimpin turut membincangkan usaha memperkukuh keamanan di rantau Asia Selatan serta memperluas kerjasama dalam memerangi keganasan dan menentang ekstremisme.


Anwar dan Shehbaz juga menyatakan pendirian tegas terhadap kekejaman rejim Zionis di Gaza sambil menzahirkan sokongan terhadap Inisiatif Keamanan 20 Perkara yang dikemukakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bagi menghentikan pengeboman serta membolehkan bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin.


"Saya sukar membayangkan bahawa pada tahun 2025, selepas begitu banyak penderitaan, masih ada wanita dan bayi yang dibom dan dibunuh. Ini benar-benar tidak berperikemanusiaan.


"Namun, Insya-Allah, kita berada di landasan yang betul, dan pendirian bersama kita dalam menyokong inisiatif damai ini akan membantu mencapai keamanan yang berkekalan," tegas beliau.


Dalam kesempatan itu, Pakistan turut menganugerahkan Ijazah Doktor Kehormat kepada Anwar dan memperkenalkan terjemahan ‘Madani Script’ dalam bahasa Urdu sebagai penghormatan terhadap gagasan Malaysia Madani yang diilhamkan beliau.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page