top of page

Tiga kuasa besar dunia boleh duduk semeja, mengapa rakyat Malaysia tidak?

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
24 minutes ago
2 min read
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong
Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong

Walaupun kita berbeza bangsa, agama dan budaya, kita tetap satu keluarga besar Malaysia. Perbezaan bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya kekuatan untuk membina negara yang lebih aman, adil dan sejahtera

Keupayaan tiga pemimpin kuasa besar dunia mengadakan rundingan rasmi tiga hala di Shenzhen, China pada 19 November lalu perlu dijadikan contoh bahawa perbezaan ideologi dan kepentingan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada perpaduan.


Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, David Cheong berkata, pertemuan Presiden China, Xi Jinping, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan Presiden Rusia, Vladimir Putin membuktikan pihak yang mempunyai sejarah persaingan juga mampu mengetepikan perbezaan demi membincangkan keamanan dan masa depan dunia.


"Jika tiga kuasa besar dunia boleh mengetepikan perbezaan demi masa depan bumi yang kita kongsi bersama, mengapa kita di Malaysia tidak boleh melakukan perkara yang sama?" katanya dalam kenyataan di media sosial.


Beliau berkata, perjuangan mempertahankan kepentingan sesuatu bangsa tidak sepatutnya disertai sikap membenci atau merendahkan kaum lain.


Menurutnya, beliau tidak pernah menghalang mana-mana perhimpunan yang bertujuan memperkukuh perpaduan dan memartabatkan sesuatu bangsa kerana perkara itu merupakan hak yang wajar dihormati.


"Namun, memperjuangkan bangsa sendiri tidak bermakna bangsa lain tidak baik dan tidak bermakna kita harus membenci atau merendahkan bangsa lain," katanya.


David turut mengingatkan masyarakat supaya berani mengakui kelemahan dalam komuniti sendiri, termasuk masalah rasuah, salah guna kuasa, jenayah dan keruntuhan nilai, berbanding terus menyalahkan kaum lain.


Katanya, pemimpin yang benar-benar memperjuangkan keadilan rakyat sepatutnya membawa kesedaran, perubahan sikap dan penyelesaian, bukannya membangkitkan sentimen perkauman.


Beliau berkata, semangat perpaduan itu selari dengan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menegaskan Malaysia adalah milik bersama tanpa mengira bangsa, agama dan latar belakang.


"我们都是一家人 (Kita semua satu keluarga).


"Besar makna ungkapan ini. Walaupun kita berbeza bangsa, agama dan budaya, kita tetap satu keluarga besar Malaysia. Perbezaan bukan alasan untuk bermusuhan, sebaliknya kekuatan untuk membina negara yang lebih aman, adil dan sejahtera," katanya.


Dalam pada itu, David melahirkan rasa kecewa terhadap kenyataan sesetengah pemimpin parti yang mendakwa sejahat-jahat orang Islam, lebih zalim lagi orang bukan Islam.


Beliau menyifatkan sentimen sedemikian sebagai berbaur perkauman dan berpotensi memecahbelahkan keharmonian masyarakat.


"Saya berpandangan bahawa kezaliman adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan dan oleh sesiapa pun.


"Saya yakin setiap agama menyeru kepada keadilan sejagat. Justeru, tanpa mengira kaum atau agama, sesiapa yang melakukan kesalahan tetap dianggap bersalah. Tiada yang lebih atau kurang," katanya.


Beliau menegaskan Malaysia merupakan rumah bersama yang perlu dipelihara melalui sikap saling menghormati dan penerimaan terhadap kepelbagaian kaum, agama serta budaya.


"Jika pemimpin kuasa besar dunia mampu memilih meja rundingan daripada permusuhan, kita juga harus memilih perpaduan daripada perpecahan.


"Bangsa yang kuat bukan bangsa yang merendahkan orang lain, tetapi bangsa yang berani memperbaiki kelemahan sendiri dan menghormati sesama manusia," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page