Jangan jadikan agama ‘cop halal’ sahkan perubahan strategi politik - Mahfuz


Pas dibidas kerana sering mengubah pendirian menggunakan label agama terhadap parti lawan atau kawan berdasarkan kepentingan politik semasa termasuk menjalin semula kerjasama dengan UMNO selepas sekian lama saling melemparkan gelaran ekstrem.
Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar (gambar) menegaskan Islam tidak seharusnya dijadikan sebagai alat atau ‘cop halal’ untuk menghukum musuh politik ketika bermusuhan dan kemudiannya menyucikan semula pihak yang sama apabila wujud keperluan kerjasama kuasa.
"Mengapa apabila Pas berkawan dengan sesuatu parti, parti itu boleh dianggap rakan yang boleh diterima tetapi apabila parti yang sama menjadi lawan, tiba-tiba parti itu pula dianggap musuh Islam?
"Jangan gunakan agama untuk menghukum lawan, kemudian gunakan agama juga untuk menghalalkan kawan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu menerusi tulisan Minda Presiden Pas bertajuk "Beristiqamah Bersama Hukum Tertinggi dalam Islam" yang disiarkan hari ini, Haji Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu menolak sebarang kerjasama politik dengan pihak yang dianggap memusuhi Islam.
Dalam artikel sama, Ahli Parlimen Marang itu turut menyelar wujudnya kumpulan Melayu-Islam yang didakwa bertindak sebagai jurubicara dan pembela kepada DAP selain meramalkan kumpulan berkenaan akan dipinggirkan sekiranya gagal menarik sokongan pengundi Melayu.
Beliau juga mengkritik konsep Malaysia MADANI dan Islam progresif yang disifatkannya bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai hukum tertinggi sambil menegaskan bahawa kepimpinan utama negara wajar diterajui oleh umat Islam.
Mengulas lanjut, Mahfuz mempersoalkan ke mana hilangnya segala tuduhan keras yang pernah dilemparkan antara pimpinan tertinggi Pas dan UMNO suatu ketika dahulu termasuk gelaran "lebih dajal daripada dajal" yang pernah dilontarkan oleh Abdul Hadi terhadap UMNO serta serangan balas daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, apabila kedua-dua pemimpin itu kini dilihat kembali duduk semeja atas nama penyatuan ummah, ia menimbulkan persoalan sama ada label berat yang digunakan sebelum ini hanyalah senjata politik semata-mata.
"Hari ini, kedua-duanya boleh duduk semeja, berpelukan dan bercakap tentang penyatuan ummah. Adakah gelaran itu sudah bertukar dengan 'cop halal' Pas atau sebenarnya ia hanya senjata politik ketika mereka bermusuhan?" soalnya.
Mahfuz turut membandingkan situasi itu dengan kerjasama terdahulu antara Pas dan DAP yang ketika itu dipertahankan atas alasan politik dan kepentingan bersama tanpa didakwa menggadaikan Islam.
Justeru itu, beliau mengingatkan masyarakat Melayu Islam agar tidak terkeliru antara hukum agama yang tetap dengan strategi politik manusia yang sentiasa berubah mengikut kepentingan kuasa.
"Islam tidak memerlukan Pas menjadi badan yang mengeluarkan sijil halal dan haram kepada parti politik. Keputusan parti bukan wahyu dan strategi politik bukan hukum Allah.
"Jangan sampai kita mengukur halal dan haram berdasarkan siapa yang sedang menjadi kawan kepada pemimpin kita," katanya.




Comments