Selangor cadang perluas NutriSel kepada calon SPM


Kerajaan negeri Selangor bercadang memperluas kemudahan makanan percuma kepada kira-kira 70,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri menerusi inisiatif khas Nutrisi Selangor (NutriSel) SPM 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, usaha itu bertujuan memastikan semua pelajar Tingkatan Lima menerima makanan sewajarnya sepanjang peperiksaan mata pelajaran teras yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
"Sepanjang peperiksaan itu, kita akan sediakan makanan pagi atau makanan sewajarnya (tengah hari) kepada anak-anak ini supaya mereka dapat memasuki dewan peperiksaan tanpa halangan serta menambah semangat mereka untuk menjawab soalan," katanya dipetik laporan media.
Amirudin ditemui selepas menyampaikan pek makanan Program NutriSel kepada 1,321 murid Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19, Shah Alam.
Kerajaan Negeri memperkenal Program NutriSel sejak Ogos lalu bagi menjaga kebajikan serta pemakanan 104,640 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kategori B40, dengan peruntukan melebihi RM12.5 juta.
Peruntukan turut merangkumi sumbangan RM7.82 juta daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), manakala RM4.73 juta daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri.
Sementara itu Amirudin memaklumkan, Kerajaan Negeri turut mengagihkan roti dan susu kotak secara percuma menerusi inisiati Mega Nutrisel kepada 993,670 murid di 962 sekolah seluruh Selangor dengan kerjasama rakan strategik Farm Fresh dan Gardenia.




Comments