Kerajaan teliti iktiraf Dayak sebagai kategori etnik rasmi


Kerajaan sedang meneliti cadangan mengiktiraf istilah Dayak sebagai kategori identiti etnik dalam rekod rasmi kerajaan bagi memastikan masyarakat pribumi Sarawak tidak lagi diletakkan di bawah kategori umum “Lain-lain”.
Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Ahmad Nazib Johari berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan bersama pimpinan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) di Kuching, Sarawak pada 2 November lalu.
"Pertemuan ini memberi tumpuan khusus kepada cadangan pengiktirafan istilah "Dayak" sebagai kategori identiti etnik dalam borang, dokumen, serta rekod rasmi kerajaan.
"Isu ini bukan sekadar urusan pentadbiran borang atau teknikaliti data malah melibatkan soal pengiktirafan identiti, maruah dan keterangkuman masyarakat pribumi Sarawak," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau yang mewakili Menteri Mustapha Sakmud berkata, masyarakat Dayak sama ada Iban, Bidayuh, Orang Ulu dan subetnik yang lain merupakan tunjang sejarah dan demografi Sarawak yang tidak wajar diletakkan di bawah kotak “Lain-lain”.
Bagi pihak kementerian, kata Ahmad Nazib berkata beberapa teras utama telah diperhalusi untuk tindakan dasar iaitu pengiktirafan rasmi dengan meneliti pelaksanaan seragam bagi istilah ‘Dayak’ dalam borang rasmi kerajaan Persekutuan dan negeri.
Jelasnya pecahan etnik juga perlu jelas dengan memastikan identiti etnik sebenar (seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu) terus terpelihara di bawah kategori payung Dayak tanpa menghilangkan keunikan setiap kaum.
Bagi tujuan penyelarasan data, jelas beliau kerajaan perlu mengintegrasi sistem agensi utama seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan Perangkaan (DOSM) agar rekod demografi negara tepat dan inklusif.
"Kerajaan Madani komited mendengar suara akar umbi demi memastikan hak dan martabat setiap rakyat dihormati. Dayak bukan Lain-lain, Dayak ada identiti, sejarah, dan maruah," ujarnya.



Comments