top of page

Zahid perlu jawab tunggakan RM1.05 bilion projek KKDW, belanja lebih peruntukan

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
51 minutes ago
2 min read
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa menjelaskan isu tunggakan bayaran kontraktor projek Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang mencecah RM1.05 bilion susulan komitmen perbelanjaan melebihi peruntukan asal.


Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar berkata, penjelasan itu perlu diberikan sebelum Presiden Umno itu menuding jari kepada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung isu projek jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak.


"Apa sebenarnya yang Zahid mahu rakyat percaya? Kalau orang lain menahan kita daripada menambah hutang, jangan pula kita menuduhnya menghalang kemajuan!.


"Ibarat orang yang berbelanja melebihi kemampuan, kemudian marah kepada akauntan kerana diminta mengira baki wang.


"Anehnya, yang mengawal perbelanjaan pula dipersalahkan, sedangkan persoalan tentang komitmen yang berlebihan belum terjawab," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mahfuz berkata MOF telah menjelaskan projek sedia ada tidak dibatalkan, sebaliknya pengeluaran Surat Setuju Terima (SST) baharu ditangguhkan sementara tunggakan diselesaikan.


Malah katanya kerajaan turut meluluskan tambahan RM500 juta bagi membantu menangani tunggakan berkenaan.


Mahfuz turut mempersoalkan tindakan Zahid mengkritik MOF sedangkan beliau sendiri merupakan Timbalan Perdana Menteri dalam kerajaan yang sama dan mempunyai tanggungjawab terhadap pentadbiran negara.


"Jangan ketika mendapat kuasa, mengaku kerajaan ini milik bersama. Apabila timbul masalah, tiba-tiba mahu membasuh tangan dan menuding jari kepada rakan sendiri," katanya.


Menurut beliau, Zahid perlu menjelaskan bagaimana komitmen perbelanjaan KKDW boleh melebihi peruntukan asal sehingga menyebabkan tunggakan kontraktor berkenaan.


Beliau juga mengingatkan supaya isu pembangunan luar bandar di Sabah dan Sarawak tidak dijadikan modal pertikaian politik sehingga mengalihkan perhatian daripada persoalan pengurusan peruntukan.


"Kalau berani menuding jari kepada MOF, beranilah juga menjawab tentang RM1.05 bilion tunggakan KKDW. Jangan hanya lantang menunjukkan kesalahan orang lain, tetapi kelu apabila ditanya tentang tanggungjawab sendiri," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page