Calon mula KEADILAN PRN Melaka ketengahkan idea, wawasan - Prabakaran


Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu menjadi ruang untuk mengetengahkan kepimpinan generasi baharu termasuk wanita muda, bagi membawa penyegaran dari segi idea, pendekatan dan hala tuju politik negara.
Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berkata, arena politik tidak seharusnya terus berlegar dalam lingkungan wajah dan pendekatan yang sama.
Sebaliknya beliau berkata, negara memerlukan penyegaran kepimpinan, idea baharu serta keberanian untuk membawa perspektif berbeza dalam menangani cabaran masyarakat.
"Kemunculan calon muda seperti Mukhlis Mubin dan Farzana Hayani atau lebih dikenali sebagai Nana dalam PRN Melaka membawa satu perspektif penting mengenai masa depan kepimpinan politik negara.
"Anak muda hari ini bukan sekadar pemerhati politik, tetapi mereka merupakan sebahagian daripada masyarakat yang berdepan secara langsung dengan isu ekonomi, peluang pekerjaan, kos sara hidup, pendidikan dan pembangunan sosial.
"Justeru, suara generasi ini perlu diberikan tempat dalam proses membuat keputusan. Dalam masa yang sama, penyertaan wanita muda dalam politik juga perlu diberikan perhatian.
"Wanita bukan sekadar pelengkap kepada representasi politik, sebaliknya perlu mempunyai ruang sebenar untuk memimpin, menyumbang idea dan terlibat dalam menentukan dasar serta hala tuju pembangunan masyarakat," katanya dalam kenyataan.
Prabakaran menyifatkan kehadiran Mukhlis dan Farzana memperlihatkan kepentingan membuka ruang kepada generasi baharu untuk mengambil bahagian secara langsung dalam proses demokrasi.
Nilai idea, wawasan
Ujarnya, kepelbagaian latar belakang, pemikiran dan pengalaman merupakan elemen penting dalam membentuk kepimpinan yang lebih inklusif.
"Sudah tentu, kepimpinan bukan hanya tentang usia atau jantina. Ia menuntut kematangan, integriti, keupayaan memahami denyut nadi rakyat dan kesungguhan melaksanakan amanah.
"Namun, kemampuan seseorang tidak seharusnya dinilai berdasarkan faktor usia atau jantina semata-mata.
"PRN Melaka merupakan ruang untuk rakyat menilai bukan sahaja pengalaman dan rekod seseorang calon, tetapi juga idea, wawasan serta kesediaan mereka membawa perubahan kepada masyarakat," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi akan menilai setiap calon secara terbuka, berdasarkan kemampuan, prinsip, integriti dan tawaran mereka kepada masyarakat.
"Gunakan hak demokrasi dengan penuh pertimbangan demi menentukan masa depan kawasan dan negeri yang kita cintai.
"Masa depan politik Malaysia memerlukan kesinambungan pengalaman, keberanian membawa idea baharu dan kesediaan membuka ruang kepada kepimpinan generasi seterusnya," ujarnya lagi



Comments