Adakah Johor cari sumber air baharu akibat industri pusat data? - Jimmy Puah


Kerajaan Negeri Johor perlu memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung langkah mencari sumber air mentah baharu, termasuk cadangan menggunakan Tasik Biru, bekas tasik lombong di kawasan Gunung Pulai.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, langkah itu menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk, khususnya ketika negeri berkenaan terus meluluskan pembukaan pusat data yang menggunakan air dalam jumlah besar.
Beliau berkata, pengumuman Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh mengenai cadangan menjadikan Tasik Biru sebagai sumber air alternatif perlu disusuli penjelasan terperinci Kerajaan Negeri.
"Saya menerima banyak pertanyaan daripada penduduk, mengapa Kerajaan negeri tiba-tiba tergesa-gesa mencari sumber air baharu? Saya berpendapat Kerajaan Negeri wajib menjawab persoalan ini secara terus terang," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurut Jimmy, Johor sudah meluluskan 60 pusat data, dengan 31 daripadanya mula beroperasi, manakala dua daripada 10 pusat data kecerdasan buatan (AI) terbesar dunia turut terletak di negeri itu.

Katanya, penggunaan air oleh industri pusat data perlu diberikan perhatian kerana sebuah pusat data berkapasiti 100 megawatt (MW) dianggarkan menggunakan kira-kira 4.2 juta liter air sehari.
Malah, beliau mendakwa firma penyelidikan menganggarkan keperluan air pusat data di Johor boleh mencecah kira-kira 400 juta liter sehari pada masa hadapan.
"Di satu pihak, pusat data dibuka satu demi satu. Di pihak lain, Kerajaan Negeri bersusah payah mencari sumber air simpanan.
"Rakyat berhak bertanya, adakah sebahagian besar bekalan air sedia ada telah diperuntukkan kepada pusat data? Apabila air tidak mencukupi, siapa yang akan diutamakan, rakyat atau pusat data?" tanyanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri mendedahkan jumlah peruntukan air kepada pusat data, penggunaan sebenar serta peratusannya berbanding keseluruhan bekalan air negeri.
Logam berat dalam air lombong
Dalam masa sama, Jimmy membangkitkan kebimbangan mengenai tahap keselamatan dan kualiti air Tasik Biru yang dicadangkan sebagai sumber air mentah alternatif.
Katanya, aspek kemungkinan kandungan logam berat dalam bekas tasik lombong itu serta kesan pengepaman air terhadap ekosistem perlu dinilai sebelum sebarang keputusan dibuat.
"Kerajaan Negeri mesti terlebih dahulu menjalankan ujian kualiti air dan penilaian kesan alam sekitar secara bebas, serta mendedahkan hasilnya kepada umum.
"Saya ingin menegaskan bahawa air ini akhirnya akan mengalir ke paip setiap rumah," katanya.
Beliau turut mendakwa penduduk di Iskandar Puteri dan beberapa kawasan lain berulang kali mengadu mengenai masalah habuk, bunyi bising serta tekanan air rendah yang dikaitkan dengan operasi pusat data.
Selain itu, katanya, pembinaan pencawang dan menara elektrik voltan tinggi yang semakin menghampiri kawasan perumahan turut menimbulkan kebimbangan penduduk, termasuk kemungkinan menjejaskan nilai hartanah.
Mengulas lanjut, Jimmy menegaskan beliau tidak menolak kemasukan pelaburan ke Johor, namun pembangunan industri berkenaan perlu dilaksanakan secara terkawal dengan mengambil kira kemampuan infrastruktur negeri.
Beliau menggesa kerajaan negeri menilai terlebih dahulu kapasiti bekalan air dan elektrik sebelum meluluskan projek pusat data baharu yang menggunakan air secara intensif.
Antara langkah dicadangkan termasuk menangguhkan kelulusan pusat data baharu sehingga penilaian kapasiti bekalan diselesaikan, mewajibkan penggunaan air kitar semula serta menyediakan mekanisme aduan dan pampasan berkesan kepada penduduk terjejas.
"Air adalah keperluan asas rakyat, bukan alat tawar-menawar untuk menarik pelaburan.
"Kerajaan Negeri Johor berhutang penjelasan kepada rakyat, dan penjelasan itu perlu diberikan secepat mungkin," katanya.




Comments