Sanusi label Belanjawan 2027 ‘gula-gula’, projek mega di Kedah macam mana?


Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melabel Belanjawan 2027 sebagai “bajet gula-gula”menjelang pilihanraya dibidas Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar).
Beliau sebaliknya mempersoalkan sejauh manakah salahnya 'gula gula politik' itu sedangkan MB Kedah sendiri pun sebelum ini mengumumkan gula gula projek mega sejak 2020.
Mahfuz berkata, bantuan kepada rakyat menerusi Belanjawan MADANI 2027 tidak sepatutnya diperlekehkan sebagai gula gula jika manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan sasaran.
"Sanusi jangan marah apabila rakyat diberi gula-gula, sedangkan rakyat sendiri mungkin sudah muak dengan gula-gula janji (di kedah)," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bantuan Kerajaan MADANI kepada pelajar, usaha meningkatkan pendapatan rakyat, projek tebatan banjir dan penambahbaikan kemudahan awam bukan bertujuan memancing undi, sebaliknya merupakan tanggungjawab kerajaan.
Menurutnya, rakyat memerlukan hasil pembangunan yang boleh dinikmati dalam kehidupan seharian, bukannya sekadar pengumuman pelaburan bernilai berbilion ringgit atau rancangan projek mega.
"Rakyat tidak boleh membayar bil air dengan angka pelaburan berbilion ringgit diumum masuk Kedah. Rakyat tidak boleh mengenyangkan perut dengan sidang media Sanusi umum nak buat projek keretapi laju di Langkawi yang akhirnya dibatalkan,” sinisnya.
Mahfuz turut membangkitkan persoalan mengenai projek litar lumba dan pelbagai rancangan pembangunan besar yang diumumkan di Kedah, dengan menegaskan rakyat mahu mengetahui perkembangan sebenar pelaksanaannya.
Katanya, projek mega tidak seharusnya dinilai berdasarkan kemeriahan pengumuman semata-mata, sebaliknya perlu diukur melalui kemajuan kerja, tempoh penyiapan dan manfaat yang diterima rakyat.
"Kita tidak menolak pembangunan besar untuk Kedah. Kita mahu Kedah maju. Tetapi jangan sampai pengumuman projek lebih laju daripada pelaksanaannya.
"KXP (lapangan terbang) dan pelbagai rancangan pembangunan besar perlu dinilai berdasarkan kemajuan sebenar, bukan kemeriahan pengumuman semata-mata," katanya.
Beliau menegaskan rakyat tidak menilai kejayaan kerajaan berdasarkan nilai projek atau jumlah angka yang diumumkan, tetapi berdasarkan sejauh mana masalah harian mereka dapat diselesaikan.
Tambah mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu, sekiranya bantuan Kerajaan MADANI sampai kepada rakyat Kedah, golongan berkenaan turut mendapat manfaat tanpa mengira perbezaan politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.
Sehubungan itu, beliau mencabar Sanusi menjelaskan sama ada bantuan yang boleh diterima rakyat pada masa ini lebih bermanfaat berbanding projek bernilai berbilion ringgit yang masih dinantikan hasilnya.
"Saya cabar Sanusi menjawab satu soalan mudah, mana lebih berguna kepada rakyat, bantuan yang benar-benar diterima hari ini, atau projek berbilion ringgit yang rakyat masih menunggu hasilnya yang tak tahu bila akan siap?" soalnya.
Beliau menegaskan bahawa sindiran politik tidak seharusnya mengatasi keperluan rakyat terhadap hasil pembangunan yang nyata.
"Kalau bantuan disebut gula-gula, pastikan rakyat dapat menikmatinya. Kalau projek mega disebut pembangunan, pastikan rakyat dapat melihat hasilnya. Jangan sampai gula-gula orang lain dikeji, tetapi janji sendiri hanya tinggal pembungkus," katanya.




Comments