Murid boleh kekal di asrama jika keadaan selamat, elak ibu bapa terbeban - Fadhlina


Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek mahu keputusan penutupan sekolah akibat jerebu dimaklumkan seawal mungkin bagi membolehkan ibu bapa membuat persediaan selain menyarankan pelajar asrama kekal di tempat penginapan jika keadaan selamat.
Beliau berkata langkah itu penting bagi mengurangkan keresahan ibu bapa yang terpaksa menguruskan anak-anak susulan keputusan penutupan sekolah yang dibuat berdasarkan perubahan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mengikut masa dan lokasi.
“Sebab itu, saya telah meminta supaya keputusan penutupan sekolah dimaklumkan seawal mungkin bagi memberi ruang kepada ibu bapa membuat persediaan,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Fadhlina, murid yang tinggal di asrama disarankan untuk terus berada di asrama sepanjang penutupan sekolah akibat jerebu selagi keadaan selamat dan kebajikan mereka terjamin.
“Kita tidak mahu ibu bapa terbeban dengan urusan mengambil dan menghantar anak berulang kali,” katanya.
Penutupan sekolah akibat jerebu yang bermula minggu lalu bersambung mulai Isnin ini susulan bacaan IPU tidak sihat di beberapa kawasan sekali gus menimbulkan pelbagai pandangan dalam kalangan ibu bapa.
Ada yang mencadangkan supaya sekolah ditutup terus untuk beberapa hari bagi memudahkan urusan keluarga.
Susulan situasi jerebu, semua sekolah di Johor serta sekolah di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bangsar Pudu, PPD Hulu Langat, PPD Gombak dan PPD Petaling Perdana ditutup pada Isnin, 12 Oktober 2026.
Sekolah di Melaka, Pulau Pinang, Putrajaya, Labuan, Perak, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Sabah dan Sarawak beroperasi seperti biasa.
Bagi Kuala Lumpur dan Selangor, sekolah di bawah PPD selain yang dinyatakan turut beroperasi seperti biasa.
Fadhlina berkata keputusan penutupan sekolah perlu mengambil kira keadaan semasa di setiap kawasan kerana bacaan IPU boleh berubah mengikut masa dan lokasi.
Beliau berkata pengurusan jerebu turut membabitkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang memantau kualiti udara dan menangani pencemaran serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memberikan panduan berkaitan risiko kesihatan kepada masyarakat.
"KPM akan terus memantau keadaan melalui JPN dan PPD serta memperbaiki penyampaian maklumat kepada ibu bapa.
"Terima kasih kepada semua ibu bapa atas pandangan dan kesabaran sepanjang kita berdepan situasi ini," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa gangguan persekolahan boleh menjejaskan pembelajaran murid seperti yang berlaku ketika pandemik COVID-19.
“Sehingga hari ini, usaha menangani keciciran pembelajaran masih diteruskan. Masa pembelajaran yang hilang bukan mudah untuk diganti, apatah lagi kemudahan PdPR tidak sama bagi setiap murid,” katanya.




Comments