top of page

Belanjawan 2027 diluluskan Dewan Rakyat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
33 minutes ago
2 min read
Ahli ahli Dewan Rakyat berswafoto bersama DS Anwar selepas selesai sesi perbahasan Belanjawan 2027
Ahli ahli Dewan Rakyat berswafoto bersama DS Anwar selepas selesai sesi perbahasan Belanjawan 2027

Belanjawan 2027 bertemakan “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi” diluluskan Dewan Rakyat hari ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelulusan itu diharap menjadi asas kepada pelaksanaan perancangan kerajaan bagi menjamin masa depan negara yang lebih baik.


"Alhamdulillah. Belanjawan 2027 yang bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ diluluskan Dewan Rakyat hari ini, menandakan satu lagi langkah penting dalam usaha Kerajaan MADANI mengangkat kehidupan rakyat ke arah yang lebih baik, di samping memperkukuh daya tahan dan menjamin masa depan negara," katanya dalam hataran di Facebook.


Anwar berkata, beliau berharap segala perancangan dan ikhtiar yang digariskan dalam belanjawan itu dapat dilaksanakan dengan sebaiknya serta membawa manfaat nyata kepada rakyat.


Menurutnya, pelaksanaan perancangan berkenaan juga diharap menjadi asas kukuh dalam membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera.


"Moga segala perancangan dan ikhtiar yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sebaiknya, membawa manfaat yang nyata kepada rakyat serta menjadi asas yang kukuh untuk membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan sejahtera," katanya lagi.


Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 diluluskan di Dewan Rakyat selepas bacaan kali ketiga yang diputuskan menerusi undian suara.


Keputusan itu dimaklumkan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Md Nor pada sesi petang.


Bacaan ketiga RUU itu dibuat oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.


Pada 29 Oktober lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) pada peringkat dasar menerusi undian suara majoriti.


Belanjawan kelima di bawah Kerajaan MADANI itu membabitkan peruntukan kerajaan berjumlah RM459.8 bilion, selain RM25 bilion pelaburan daripada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), RM11 bilion pelaburan awam-swasta serta RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan Syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).


Ini menjadikan keseluruhan Belanjawan 2027 sebanyak RM510 bilion.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page