PRN Sarawak: Tidak bertanding bukan lemah, perkukuh organisasi menuju PRU 16


Saya yakin bahawa sebuah parti yang konsisten mempertahankan prinsip perjuangan, keadilan dan reformasi tidak akan mati hanya kerana berhadapan dengan kekalahan dalam beberapa siri pilihanraya
Keputusan KEADILAN tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 bukan tanda mengalah atau pengakhiran perjuangan parti itu, sebaliknya merupakan langkah strategik memperkukuh organisasi dan menyusun kekuatan bagi menempuh cabaran politik lebih besar khususnya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN, Abang Zulkifli Abang Engkeh berkata, KEADILAN Sarawak juga tidak berkubur hanya kerana keputusan untuk tidak bertanding pada PRN akan datang.
"Berhubung luahan segelintir netizen di media sosial yang mendakwa KEADILAN Sarawak akan berkubur akibat keputusan ini, saya berpandangan bahawa tanggapan tersebut tidak tepat dan jauh tersasar daripada realiti perjuangan parti.
"KEADILAN Sarawak telah melalui pelbagai cabaran dan episod politik yang sukar, namun, parti tetap bertahan, organisasi terus bergerak dan keahlian terus berkembang.
"Saya yakin bahawa sebuah parti yang konsisten mempertahankan prinsip perjuangan, keadilan dan reformasi tidak akan mati hanya kerana berhadapan dengan kekalahan dalam beberapa siri pilihanraya," katanya menerusi satu kenyataan.
Abang Zulkifli menegaskan bahawa perjuangan parti itu tidak ada nokhtah, sebaliknya langkah memperkukuhkan kekuatan dan mempersiapkan masa depan sedang diatur.
"Perjuangan menegakkan keadilan, memperjuangkan nasib rakyat dan membawa agenda reformasi akan terus menjadi asas kepada perjalanan KEADILAN.
"Kita perlu berani menerima hakikat bahawa KEADILAN masih belum mencapai kejayaan yang diharapkan dalam beberapa pilihan raya di Sarawak.
"Namun, kekalahan bukanlah pengakhiran kepada perjuangan. Sebaliknya ia perlu dijadikan ruang untuk bermuhasabah, memperbaiki kelemahan dan memperkukuhkan semula kekuatan organisasi," ujarnya lagi.
Dalam kenyataan sama, Abang Zulkifli tampil memberikan pujian kepada Kerajaan MADANI kerana telah meletakkan pelaksanaan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) pada landasan yang lebih tersusun dan menunjukkan perkembangan berbanding beberapa pentadbiran terdahulu.
Katanya, beliau percaya hubungan baik dan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan MADANI mampu membuka lebih banyak ruang serta peluang pembangunan yang akan memberikan manfaat kepada rakyat Sarawak khususnya golongan berpendapatan rendah dan masyarakat di kawasan pedalaman.




Comments