Menjelang PRU 16, AMANAH perlu perkukuh identiti perjuangan – Raja Bahrin


Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu melakukan muhasabah dan rejuvenasi hala tuju politik selepas 11 tahun penubuhannya bagi menghadapi cabaran lebih besar pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mantan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Bahrin Shah berkata, persoalan mengenai identiti, hala tuju Islam yang dibawa serta keperluan pembaharuan kepimpinan parti antara perkara yang telah dibangkitkan perwakilan, antaranya dari Perak pada Konvensyen AMANAH baru-baru ini.
Menurut beliau, AMANAH perlu menjelaskan konsep Islam yang ingin dibawa parti itu selain memperkukuh peranan golongan agamawan dan asatizah dalam kepimpinan serta pembentukan imej parti.
"Konsep ‘Islam manakah’ yang ingin dibawa? Para agamawan dan asatizah kita tidak diketengahkan seperti sepatutnya walaupun kita mempunyai bekas Menteri Agama yang telah memikul tanggungjawab terjemahan Islam rasmi negara dengan baik, dan seorang lagi asatizah dari Rusila (Terengganu) yang popular di TikTok," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, Raja Bahrin berkata, cadangan kerjasama politik menerusi konsep Pakatan Harapan (PH) bersama Khemah Besar juga berpotensi mencabar kedudukan AMANAH sekiranya parti itu tidak mempunyai identiti tersendiri.
Katanya, isu sikap asobiyah atau kepuakan dalam parti turut dibangkitkan perwakilan, termasuk dakwaan wujud kelompok tertentu di sekeliling pimpinan.
Raja Bahrin juga membangkitkan persoalan mengenai ketiadaan pemilihan kepimpinan AMANAH ketika parti komponen PH lain, termasuk KEADILAN dan DAP, serta Umno di luar PH pun telah melalui proses pemilihan masing-masing.
Menurutnya, pemilihan parti merupakan proses demokrasi biasa yang penting bagi memastikan pembaharuan kepimpinan dan kesuburan organisasi.
"Amanah akan menghadapi PRU16 dengan status quo pimpinan tanpa pembaharuan kerana tiada pemilihan," ujarnya.
Tambah Raja Bahrin, penganalisis dan penulis politik sebelum ini telah memberikan teguran membina mengenai kedudukan parti itu menjelang beberapa pilihan raya negeri (PRN), namun beliau tidak melihat teguran berkenaan dimanfaatkan parti.
Katanya, AMANAH perlu mengambil serius pandangan berkenaan, termasuk selepas keputusan empat PRN di Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka baru-baru ini.
Beliau berpandangan, dalam gabungan PH, KEADILAN mempunyai imej parti berbilang kaum, manakala DAP mempunyai kelompok penyokong tersendiri, justeru AMANAH perlu memperkukuh identiti dan kekuatan politiknya.
"Tanpa pembaharuan dan muhasabah diri dengan mengambil kira pandangan penganalisis politik sebelum dan selepas empat PRN negeri – Sabah, Johor, Negeri Sembilan dan Melaka – baru-baru ini, AMANAH akan menghadapi cabaran yang amat besar dan getir pada PRU16 ini," katanya lagi.




Comments