top of page

Lebih 40,000 kandungan buli diturunkan, ibu bapa perlu kawal anak di media sosial

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
4 hours ago
3 min read
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil
Pindaan kepada undang-undang telah membolehkan pihak berkuasa mengenakan ataupun pihak mahkamah mengenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000 dan kesalahan ini merupakan satu kesalahan yang boleh tangkap tanpa waran

Sejumlah 40,214 kandungan berunsur buli dan 55 kandungan jelik melampau melibatkan kanak-kanak diturunkan daripada platform media sosial bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November lalu susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).


Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata jumlah kandungan berunsur buli yang diturunkan itu melibatkan semua kategori umur dan tidak menggambarkan jumlah kes jenayah mahupun mangsa yang terlibat.


"Tindakan menangani kandungan berbahaya dalam talian dilaksanakan secara bersepadu oleh kementerian dan agensi berkaitan berdasarkan bidang kuasa serta peruntukan undang-undang masing-masing.


"Dalam membanteras eksploitasi seksual kanak-kanak dalam talian, MCMC turut bekerjasama dengan pihak polis melalui pemberian bantuan teknikal, pembekalan maklumat dan analisis forensik digital serta pelaksanaan operasi bersepadu," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.


Beliau menjawab soalan Siti Zailah Mohd Yusoff (Pas-Rantau Panjang) berhubung statistik kes buli siber, eksploitasi seksual dan kandungan berbahaya terhadap kanak-kanak serta keberkesanan kerangka pelesenan platform media sosial yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2025.


Antara operasi membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilaksanakan ialah Operasi CyberGarden 2026 yang membawa kepada 69 tangkapan dan rampasan 498,690 fail digital termasuk 204,934 fail bahan penderaan seksual kanak-kanak (CSAM).


Sementara itu, Ops Pedo Bersepadu 3.0 yang dijalankan pada 14 hingga 16 September hasil risikan bersama polis dan MCMC melibatkan 52 serbuan serta 53 tangkapan, termasuk lapan remaja.


Dalam tempoh sama, Fahmi berkata MCMC turut mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan media sosial di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melibatkan kandungan lucah, sumbang, palsu, mengancam dan jelik melampau.


Sebanyak 25 kes telah didakwa di mahkamah, 16 kes dikenakan kompaun manakala 41 kes diberikan surat amaran bagi tempoh 1 Januari hingga 15 November tahun ini, ujarnya.


"Pindaan kepada undang-undang telah membolehkan pihak berkuasa mengenakan ataupun pihak mahkamah mengenakan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM500,000 dan kesalahan ini merupakan satu kesalahan yang boleh tangkap tanpa waran," kata beliau.


Kerajaan juga melaksanakan Kod Perlindungan Kanak-Kanak di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) bagi meningkatkan tahap pematuhan penyedia perkhidmatan berlesen, dengan penilaian berterusan dibuat terhadap keberkesanan tindakan menangani kandungan memudaratkan.


"Penilaian berterusan akan dibuat berdasarkan tahap pematuhan tersebut dan tindakan pemberi perkhidmatan berlesen dalam menangani kandungan memudaratkan dalam talian," katanya.


Mengulas kerjasama dengan platform antarabangsa bagi mempercepat penurunan kandungan penderaan seksual kanak-kanak, Fahmi berkata, hubungan antara polis dan MCMC diperkukuh selain maklumat turut diperoleh daripada agensi risikan luar negara.


Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman juga memainkan peranan penting dalam usaha berkenaan, termasuk langkah pencegahan melalui pengesahan umur bagi mengelakkan kanak-kanak berinteraksi dengan individu dewasa yang berpotensi melakukan pengantunan seksual.


"Pada pertengahan Disember, saya akan bertemu rakan sejawat dari Indonesia dan Singapura untuk menyampaikan mesej jelas kepada platform bahawa kita tidak mahu jenayah seksual terhadap kanak-kanak berlaku menerusi platform media sosial," katanya.


Sementara itu, menjawab soalan tambahan Suhaizan Kayat (PH-Pulai), Fahmi menjelaskan kerajaan tidak berhasrat membangunkan platform media sosial khusus untuk kanak-kanak ketika ini sebaliknya menekankan kepentingan penglibatan ibu bapa dalam memantau penggunaan media sosial anak-anak.


Dalam isu itu, jelasnya pendekatan perlindungan kanak-kanak turut merangkumi peranan keluarga khususnya dalam memastikan anak-anak memahami risiko buli siber, gangguan dalam talian dan interaksi dengan individu tidak dikenali.


Fahmi berkata terdapat pandangan yang menggalakkan anak-anak kembali mendekati kehidupan sebenar melalui aktiviti luar, pembacaan buku fizikal, interaksi sosial dan pembelajaran tanpa terlalu bergantung kepada peranti digital.


"Malah ada gerakan analog, anak-anak hendak dirapatkan dengan dunia sebenar, baca buku fizikal, guna pen dan pensel dan bukannya digital" ujarnya.


"Kita tidak berpegang dengan fikiran itu sebaliknya lebih bersifat moderat, bolehkan anak-anak menggunakan plaform seperti YouTube, kita hendak elak anak-anak cakap dengan orang dewasa yang mungkin boleh memangsakan mereka dari segi seksual dan elak jadi mangsa buli siber," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page