Jerebu: 23 stesen catat IPU tidak sihat, Johor tertinggi


Sebanyak 23 stesen pemantauan kualiti udara di seluruh negara merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat dengan Pasir Gudang dan Kota Tinggi di Johor mencatatkan bacaan tertinggi, masing-masing 170.
Menurut Data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS) setakat pukul 11.30 pagi ini turut menunjukkan 42 stesen lagi berada pada tahap sederhana dalam pemantauan melibatkan keseluruhan 68 stesen.
Selain Pasir Gudang dan Kota Tinggi, Seremban di Negeri Sembilan merekodkan IPU 166, diikuti Nilai (164) dan Pengerang, Johor (164).
Balok Baru di Kuantan, Pahang turut mencatatkan bacaan tinggi iaitu 161, manakala Larkin, Johor merekodkan 159 dan Rompin, Pahang serta Kemaman, Terengganu masing-masing mencatatkan 156.
Di Melaka, stesen Bukit Rambai merekodkan IPU 154, sama seperti Paka di Terengganu dan Tangkak di Johor.
Putrajaya dan Port Dickson, Negeri Sembilan masing-masing mencatatkan IPU 152, diikuti Batu Pahat, Johor (152) serta Kluang, Johor (151).
Bacaan di Selangor turut menunjukkan keadaan kurang baik apabila stesen Johan Setia merekodkan IPU 136 manakala Bandaraya Melaka mencatatkan 135.
Stesen Kuala Terengganu merekodkan IPU 129, diikuti Indera Mahkota di Kuantan, Pahang (126), Alor Gajah, Melaka (118), Cheras, Kuala Lumpur (116) dan IPD Serian, Sarawak (112).
Sementara itu, 42 stesen yang berada pada tahap sederhana termasuk Tawau, Sabah dengan bacaan IPU 99, Segamat, Johor (97), Kuching, Sarawak (92), Samarahan, Sarawak (91) dan Banting, Selangor (87).
Klang dan Miri masing-masing merekodkan IPU 83, manakala Samalaju di Sarawak mencatatkan 80 dan Labuan 78.
Di Selangor, Shah Alam merekodkan IPU 75, manakala Petaling Jaya mencatatkan 67 dan Kuala Selangor 62. Batu Muda di Kuala Lumpur pula merekodkan IPU 73.
Bagi negeri-negeri lain, Kota Bharu di Kelantan mencatatkan IPU 70, Besut di Terengganu (70), Alor Setar di Kedah (58), Tasek Ipoh di Perak (58) dan Sungai Petani di Kedah (55).
Tiga stesen pula tunjukkan status IPU baik iaitu Balik Pulau, Pulau Pinang; Kangar, Perlis dan Langkawi, Kedah masing-masing bawah 50.
Mengikut pengelasan IPU, bacaan antara 51 hingga 100 dikategorikan sebagai sederhana, manakala bacaan antara 101 hingga 200 berada pada tahap tidak sihat.
Keadaan itu memerlukan orang ramai, khususnya kanak-kanak, warga emas serta individu yang mempunyai masalah pernafasan atau penyakit kronik, mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan kepada udara tercemar.
Orang ramai disaran memantau perkembangan kualiti udara di kawasan masing-masing dan mendapatkan maklumat terkini melalui portal rasmi APIMS JAS di https://eqms.doe.gov.my/APIMS/main.




Comments