Malaysia catat sifar kes penipuan haji, pemantauan diperkukuh


Malaysia mencatatkan sifar kes penipuan pakej haji dan badal haji sepanjang musim 1447H/2026M, hasil kerjasama bersepadu Tabung Haji (TH), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguat kuasa berkaitan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata kejayaan itu mencerminkan keberkesanan usaha bersama dalam melindungi umat Islam daripada sindiket penipuan yang mengambil kesempatan terhadap hasrat mereka menunaikan ibadah haji.
"Alhamdulillah, hasil kerjasama yang padu daripada semua pihak, Malaysia berjaya mencatatkan 'zero case scammer' iaitu tiada kes penipuan haji termasuk kes penipuan badal haji direkodkan untuk tahun 2026.
"Semoga segala usaha yang dilaksanakan oleh Tabung Haji, PJH (Pengelola Jemaah Haji)dan semua pihak yang terlibat akan terus dipermudahkan dan diberkati oleh Allah SWT," katanya dalam hantaran di Facebook.
Terdahulu semalam, beliau merasmikan upacara penutup Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 (KHUP5) di Pusat Konvensyen Movenpick, Sepang.
Karnival itu menghimpunkan syarikat PJH bagi musim 1448H/2027M.

Menurut laporan Bernama pada 1 Julai lalu, Zulkifli dipetik sebagai berkata pemantauan secara fizikal di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan pengawasan menerusi platform media sosial antara langkah yang dilaksanakan bagi membendung kegiatan berkenaan.
“Hal ini menunjukkan bahawa keberkesanan dan kita bersyukur, 'zero' (sifar) kes 'scammer' (penipuan) pada tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Zulkifli merakamkan penghargaan kepada TH dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) atas penganjuran bersama KHUP5 selain semua syarikat PJH yang terlibat dalam persiapan musim haji akan datang.
Beliau turut menyambut baik peningkatan jumlah pengunjung ke karnival itu sekali gus menunjukkan kesungguhan masyarakat mendapatkan maklumat berkaitan pakej haji yang sah, tepat dan terkini.
Media tempatan melaporkan KHUP5 merekodkan kehadiran lebih 16,000 pengunjung serta menghimpunkan 34 syarikat PJH berlesen bagi musim haji 1448H.
Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli menegaskan kepentingan meningkatkan kesedaran orang ramai supaya hanya memilih pengendali berlesen dan mengelakkan tawaran pakej yang meragukan termasuk perkhidmatan badal haji.
Kerajaan bersama agensi penguatkuasaan juga akan terus memperhebat kempen "Tiada VSA, Tiada Haji" bagi memastikan bakal jemaah memahami kepentingan menggunakan visa atau permit haji yang sah serta mendapatkan perkhidmatan melalui saluran yang diiktiraf, katanya.
"Kerjasama TH, PJH dan semua pihak berkaitan akan terus diperkukuh bagi memastikan pengurusan haji negara berjalan lancar, selain melindungi keselamatan serta kebajikan jemaah Malaysia," ujar beliau lagi.




Comments