RS-2: Selangor pastikan bekalan air cukup untuk rakyat, industri
- Suara Keadilan
- 14 minutes ago
- 1 min read

Lima projek infrastruktur air utama di Selangor dijangka meningkatkan kapasiti rawatan air secara signifikan sekaligus memperkukuh jaminan bekalan air di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, lima projek tersebut, iaitu Loji Rasau Fasa 1 dan 2, Langat 2 Fasa 2 serta Labohan Dagang Fasa 2 memastikan bekalan air bersih 24 jam dapat dinikmati seluruh rakyat Selangor tanpa gangguan.
"Inisiatif ini berhasrat menambah kapasiti rawatan air negeri secara signifikan, mengurangkan tekanan ke atas loji sedia ada.
"Ia juga bagi memastikan bekalan air yang selamat untuk memenuhi pertumbuhan populasi dan industri Selangor," katanya dipetik di Dewan Negeri Selangor (DNS) pada Jumaat.
Terdahulu beliau menghuraikan Misi Negeri Lestari Berdaya Tahan dan Strategik yang digariskan menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) yang diumumkannya.
Misi tersebut menggariskan 14 inisiatif bagi memperkukuh pengurusan alam sekitar dan daya tahan iklim dalam melindungi ekosistem serta memastikan kemakmuran jangka panjang untuk rakyat.
Lima bidang keutamaan digariskan dalam misi tersebut iaitu ketahanan iklim dan pengurusan bencana; pemeliharaan dan biodiversiti; teknologi hijau dan bandar rendah karbon; pengurusan sisa dan ekonomi kitaran serta keterjaminan air.
Amirudin sementara itu memaklumkan, projek Selangor Maritime Gateway (SMG) akan diteruskan menerusi usaha pembersihan Sungai Klang bagi memulihkan ekosistem sungai dan telah menunjukkan tanda positif yang amat menggalakkan.
Bagi memperkukuh usaha pemuliharaan alam sekitar pula, katanya, Selangor memperkukuh usaha perlindungan hutan menerusi Pelan Pengurusan Central Forest Spine (CFS) 2020-2029 serta pembangunan Hutan Warisan Diraja Selangor bagi memastikan khazanah ekologi negeri terus terpelihara untuk generasi akan datang.
"Pada masa sama, Inisiatif Karbon Selangor akan memperkukuh kedudukan negeri sebagai pemain strategik dalam pasaran karbon sukarela Malaysia dengan memanfaatkan 31 peratus litupan hutan simpan negeri sebagai aset iklim bernilai tinggi," jelasnya.
