top of page

Henti salahkan kerajaan bila PN ditimpa masalah - Ustaz Syamsul

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
41 minutes ago
2 min read

Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Medan, Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri mendakwa kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang berhubung isu pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) dan menyalahkan Kerajaan Madani kelmarin lebih menjurus kepada sentimen politik berbanding pemahaman terhadap masalah sebenar yang berlaku dalam gabungan itu.


Beliau berkata, kenyataan Hj Hadi seolah-olah cuba membina naratif mendakwa Kerajaan Madani menyalahguna kuasa dalam tindakan membabitkan pembatalan PN.


"Padahal tindakan pembatalan (pendaftaran) PN itu dibuat atas aduan dan pelanggaran Perlembagaan PN oleh parti komponen itu (PN) sendiri yang telah dibuat oleh Bersatu.


".... iaitu tentang mereka tidak dipanggil untuk mesyuarat, sedangkan setiap komponen itu ada hak untuk hadir dan dipanggil dalam mesyuarat membabitkan prosedur, tatacara tentang urusan satu gabungan parti.


"Jadi, saya rasa Presiden Pas sendiri sebenarnya cuba mengalihkan perhatian daripada isu sebenar," katanya.


Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri
Ustaz Syamsul Firdaus Mohamed Supri

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Suara Keadilan mengulas isu berkenaan.


Pada 20 Oktober lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) mengesahkan pembatalan pendaftaran PN selepas mendapati penjelasan dikemukakan gabungan itu gagal menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.


Menurut RoS, keputusan itu dibuat di bawah sub perenggan 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) selepas meneliti keseluruhan dokumen dan representasi dikemukakan PN pada 12 Oktober lalu.


Sehari selepas pembatalan pendaftaran gabungan itu, Hj Hadi mendakwa, ketakutan sedang memuncak di pihak kerajaan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, Pas mengecam tindakan kerajaan membatalkan pendaftaran PN melalui notis daripada RoS bertarikh 20 Oktober.


Sehubungan itu, Ustaz Syamsul hairan melihat Hj Hadi yang pantas menyalahkan Kerajaan Madani namun tidak melihat tindakan gabungan PN dalam Pilihan Raya Negeri Sembilan yang mana Pas dan Wawasan menggunakan logo PN sedangkan ahli komponen yang sah, Bersatu menggunakan logo parti itu sendiri.


Katanya, hal itu sepatutnya diselesaikan oleh pemimpin tertinggi Pas yang berpengaruh seperti Hj Hadi tanpa membiarkan perkara menjadi lebih buruk dan Bersatu mengadu kepada RoS.


Bagaimanapun, semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk menangguhkan pelaksanaan penggantungan dan pembatalan pendaftaran parti itu oleh RoS.


Keputusan itu dibuat hanya sembilan hari sebelum hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sekali gus membolehkan gabungan berkenaan meneruskan semula aktiviti politik dan persiapan untuk bertanding menggunakan logonya sendiri.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page