Mafia korporat: SEKPUR buat laporan polis terhadap kenyataan Rafizi


Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SEKPUR) hari ini membuat laporan polis berhubung satu kandungan video di platform TikTok yang memaparkan kenyataan aktivis Parti Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berhubung dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dan kaitannya dengan isu dalaman negara dan pihak-pihak tertentu.
Pengerusi Biro Politik SEKPUR, Shahbudin Embun berkata berdasarkan kandungan yang ditonton, beliau berpandangan terdapat beberapa kenyataan dalam video tersebut yang wajar diteliti oleh pihak berkuasa bagi menentukan konteks sebenar, asas fakta dan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang.
"Saya memohon agar kenyataan yang dibuat mengenai pihak-pihak tertentu dan pengendalian isu berkenaan oleh kerajaan dinilai berdasarkan rakaman penuh, bukan petikan yang terpisah daripada konteksnya.
"Saya juga mengambil perhatian terhadap dakwaan berkaitan penyerahan wang berjumlah RM9.5 juta yang disebut dalam perbahasan awam mengenai isu mafia korporat.
"Saya tidak membuat pengesahan sendiri terhadap dakwaan tersebut dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menentukan kesahihan, sumber bukti serta penglibatan mana-mana individu melalui siasatan yang sewajarnya," kata beliau dalam kenyataan.
Selain itu, Shahbudin berkata, dalam kenyataan awam yang diperkatakan, terdapat beberapa individu yang telah dikatakan mempunyai kaitan dengan isu tersebut.
Justeru katanya, pihak polis diminta meneliti kenyataan sebenar yang dibuat (jika ada) dan membezakan antara dakwaan, persoalan politik atau fakta yang telah disahkan.
"Saya tidak menyatakan bahawa mana-mana individu tersebut telah melakukan kesalahan. Saya turut mengambil maklum laporan dan kenyataan awam mengenai komitmen Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat untuk memberi ruang selama tiga bulan kepada pasukan penyiasatan khas bagi meneliti dakwaan mafia korporat.
"Saya memohon pihak polis mengesahkan konteks dan butiran kenyataan tersebut melalui rekod rasmi yang berkaitan.
"Saya juga bimbang sekiranya dakwaan serius yang disebarkan secara terbuka tidak disertai penjelasan fakta yang mencukupi (dan) keadaan itu boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat dan menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap institusi negara," katanya lagi.
Beliau berkata, laporan polis itu dibuat dengan niat memohon penelitian pihak berkuasa, dan bukannya untuk mengesahkan dakwaan yang belum dibuktikan atau menentukan terlebih dahulu bahawa mana-mana individu bersalah.




Comments