top of page

Wacana pemikiran tokoh Islam: Dekatkan generasi muda dengan khazanah ilmu

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
35 minutes ago
2 min read

DS Fadhlina menerima kunjungan hormat Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, Fathurrahman Mahfudz dan Rektor Universiti Ibn Khaldun Prof H. E Mujahidin, semalam
DS Fadhlina menerima kunjungan hormat Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, Fathurrahman Mahfudz dan Rektor Universiti Ibn Khaldun Prof H. E Mujahidin, semalam

Budaya membaca, mengkaji dan mewacanakan pemikiran tokoh Islam terdahulu perlu diperkukuh bagi memastikan khazanah intelektual Islam terus berkembang serta relevan dengan cabaran zaman.


Menteri Pendidikan Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata usaha itu penting berikutan generasi muda hari ini semakin jauh daripada tradisi pemikiran tokoh terdahulu termasuk negarawan dan pemikir Islam Indonesia, Mohammad Natsir.


"Ada pemikiran yang lahir puluhan tahun dahulu tetapi semakin jarang dibicarakan oleh generasi hari ini.


"Antaranya pemikiran Mohammad Natsir, negarawan dan tokoh pemikir Islam Indonesia yang meninggalkan sumbangan besar terhadap perkembangan dakwah dan pemikiran Islam di Nusantara," kata dalam hantaran di Facebook.


Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Ketua Umum Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia, Fathurrahman Mahfudz dan Rektor Universiti Ibn Khaldun Prof H. E Mujahidin.


Fadhlina berkata tokoh intelektual seperti Muhammad Natsir meninggalkan gagasan dan khazanah ilmu yang besar namun usaha mengkaji serta mengembangkan pemikiran mereka masih belum cukup kukuh.


"Saya percaya keadaan ini perlu diberikan perhatian. Kita mempunyai sejarah intelektual yang kaya tetapi kesinambungannya tidak akan berlaku dengan sendiri," katanya menerusi hantaran di media sosial.


Beliau berpandangan usaha bersungguh-sungguh perlu dilaksanakan bagi menghidupkan kembali budaya membaca dan mewacanakan pemikiran tokoh terdahulu supaya terus berkembang sesuai dengan cabaran semasa.


Terdahulu Fahdlina berkata, pertemuan tersebut turut membincangkan pelbagai perkara termasuk perkembangan gerakan dakwah di Malaysia dan Indonesia, isu antarabangsa serta cabaran yang dihadapi umat Islam hari ini.


Katanya perbincangan berkenaan turut memberi perhatian kepada jurang antara generasi masa kini dengan warisan pemikiran tokoh terdahulu yang mempunyai sumbangan besar terhadap perkembangan dakwah dan pemikiran Islam di Nusantara.


"Terima kasih atas kunjungan dan perkongsian ilmu yang cukup bermakna. Semoga hubungan baik ini terus diperkukuh demi manfaat masyarakat di kedua-dua negara," ujarnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page