Waze: Lebih baik selamat daripada serah maklumat, kerahsiaan kepada Israel


Kerajaan tidak menolak kemungkinan mengharamkan terus penggunaan aplikasi navigasi Waze sekiranya Malaysia berjaya membangunkan alternatif tempatan yang mempunyai keupayaan mencukupi, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata kerajaan ketika ini mengarahkan penjawat awam menggunakan aplikasi navigasi alternatif bagi urusan rasmi sebagai langkah mengutamakan keselamatan negara dan melindungi kerahsiaan data daripada risiko yang dikaitkan dengan bidang kuasa undang-undang Israel.
Keputusan itu dibuat selepas penelitian terhadap perjanjian penggunaan Waze dan aspek pengendalian datanya menimbulkan kebimbangan yang tidak boleh dipandang ringan khususnya ketika Malaysia mengambil pendirian tegas menentang rejim Zionis Israel.
"Ini soal keselamatan negara. Walaupun saya tahu saya dikritik, dikecam kerana terburu-buru dan gopoh, saya kata tak apalah kalau agak menyusahkan beberapa orang, saya minta maaf.
"Tetapi bagi saya, keselamatan negara lebih penting," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim Taman Nirwana Ampang Selangor.
Perdana Menteri berkata beliau meminta semakan dilakukan terhadap perjanjian penggunaan aplikasi berkenaan serta lokasi Waze berpangkalan sebelum keputusan diambil.
Menurutnya kerajaan tidak boleh menangguhkan tindakan selepas memperoleh pengesahan mengenai perkara yang menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan negara.
"Tak boleh saya kata nak tangguh satu hari pun tak boleh. Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu. Saya kata dah sah (ada kaitan undang-undang Israel)," katanya.
Perdana Menteri menegaskan persoalan utama ialah kedudukan ibu pejabat Waze di Israel dan pemakaian undang-undang negara itu terhadap perkhidmatannya yang memerlukan penelitian serius dari sudut keselamatan maklumat.
"Apakah sanggup kita serah maklumat kita kepada undang-undang Israel? Itu soalnya," katanya.
Anwar turut memberi amaran bahawa maklumat lokasi, pergerakan dan data peribadi pengguna perlu dilindungi daripada sebarang risiko yang boleh menjejaskan kepentingan negara.
"Lebih baik selamat daripada serahkan maklumat, kerahsiaan, peribadi saudara dan negara kepada Israel. Itu yang penting dipahami," katanya.
Mengulas kritikan bahawa keputusan kerajaan dibuat terlalu cepat, Anwar mengakui kelemahan aplikasi alternatif tempatan terutama TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuh Raya Malaysia menjadi antara punca kontroversi tetapi menegaskan isu itu tidak seharusnya mengatasi kepentingan keselamatan negara.
Anwar berkata kerajaan akan terus meneliti pilihan yang ada bagi memastikan keperluan navigasi dapat dipenuhi tanpa mengetepikan aspek perlindungan data dan keselamatan negara.
"Gunalah yang lain-lain. Tapi sabarlah sekejap. Carilah jalan. Jauh sikit tak apalah. Daripada serah maklumat kepada Israel," katanya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak mengharamkan Waze sekiranya aplikasi setanding mampu dibangunkan oleh tenaga pakar tempatan.
"Itu kita kaji alternatifnya. Kalau dah besok kita tengok keupayaan kita cukup baik, maka mungkin kita ada kemungkinan untuk mengharamkan sama sekali (Waze)," katanya.




Comments