top of page

Rohingya: Langkah pragmatik Anwar demi kedaulatan negara - AMK

Writer: Helmi Mohd Foad
Helmi Mohd Foad
1 day ago
3 min read

Pendekatan pragmatik Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani krisis pelarian Rohingya perlu dilihat sebagai usaha mencari penyelesaian tuntas demi menjaga kedaulatan, keselamatan dan kepentingan rakyat Malaysia, demikian kata Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat.


Naib Ketua AMK Malaysia Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, dakwaan bahawa pendekatan kerajaan terhadap isu berkenaan memalukan, tidak berakhlak dan mencemar imej negara gagal mengambil kira realiti keselamatan domestik serta kerumitan diplomasi serantau yang dihadapi hari ini.


AMK menolak naratif bahawa Anwar sengaja menyalahkan pentadbiran terdahulu bagi meraih modal politik sebaliknya terdapat kelompongan dasar dalam pengurusan pelarian yang kesannya masih ditanggung negara sehingga kini, kata beliau.


"Sejarah menunjukkan bahawa langkah-langkah kemanusiaan yang diambil pada masa lalu tidak disusuli langsung dengan sebarang pelan pengurusan sempadan atau 'strategi keluar' yang jelas, maka ini adalah satu kelompongan dasar yang kesannya masih ditanggung negara sehingga hari ini," katanya dalam kenyataan.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menjelaskan pendirian Anwar ketika berada di penjara pada 2016 juga tidak bercanggah dengan pendekatan kerajaan ketika ini kerana gesaan ketika itu adalah supaya tindakan kemanusiaan yang strategik dan penyelesaian politik dilaksanakan di peringkat ASEAN.


Katanya pendekatan berstruktur yang sedang dilaksanakan kerajaan kini tidak boleh disamakan dengan dasar populis yang tidak disertai mekanisme pemantauan jangka panjang.


"Apabila Anwar Ibrahim ketika di dalam penjara pada tahun 2016 menggesa tindakan diambil, beliau menuntut campur tangan kemanusiaan yang strategik dan penyelesaian politik di peringkat ASEAN, bukan dasar populis yang dibiarkan tanpa pemantauan jangka panjang.


"Justeru itu, tiada percanggahan antara pendirian beliau ketika itu dengan langkah berstruktur yang sedang dilaksanakan sekarang," katanya.


Mohammed Taufiq berkata rundingan diplomatik dengan Myanmar juga tidak wajar disamakan dengan hubungan Malaysia dan Israel kerana kedua-duanya mempunyai konteks undang-undang serta diplomasi yang berbeza.


Menurutnya Myanmar merupakan negara jiran serantau dan anggota ASEAN manakala penghantaran pulang etnik Rohingya ke tanah asal mereka memerlukan persetujuan kerajaan kedua-dua negara.


"Ini adalah negara jiran serantau kita dalam ASEAN dan satu-satunya jalan sah untuk membolehkan penghantaran pulang etnik Rohingya ke tanah asal mereka adalah melalui persetujuan Kerajaan ke Kerajaan (G2G)," katanya.


Beliau berkata keengganan untuk berunding dengan Myanmar hanya akan menyebabkan status pelarian berkenaan berterusan di Malaysia tanpa penyelesaian sekali gus tidak adil kepada pelarian terbabit dan rakyat tempatan.


Dalam pada itu, Mohammed Taufiq berkata usaha penghantaran pulang yang digerakkan kerajaan adalah secara berperingkat, bermula dengan 5,000 orang, hasil persetujuan rasmi Myanmar untuk menerima mereka semula.


Katanya proses itu turut disertai pemantauan dan kerjasama serantau serta berbeza daripada tindakan pengusiran tanpa pertimbangan.


"Ini adalah langkah berstruktur yang berbeza sama sekali daripada tindakan pengusiran secara membuta tuli," katanya.


Beliau turut membangkitkan isu penempatan semula pelarian oleh UNHCR ke negara ketiga yang menurutnya masih bergerak pada kadar amat mengecewakan, sedangkan komitmen kemanusiaan Malaysia telah melangkaui kapasiti domestik.


Katanya bagi merapatkan jurang berkenaan, Kementerian Dalam Negeri telah mengambil langkah melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang bermula 1 Januari 2026 bagi mengurus pangkalan data identiti dan biometrik pelarian secara mandiri dan berdaulat.


"AMK memahami kegusaran masyarakat tempatan berhubung kesan sosial akibat ketiadaan kerangka pengurusan yang jelas sebelum ini.


"Kegusaran ini amat wajar ditangani melalui dasar yang teratur, bukan diabaikan begitu sahaja," katanya.


Mohammed Taufiq berkata reformasi tidak seharusnya sekadar mengangkat slogan hak asasi manusia untuk memenuhi pandangan masyarakat antarabangsa.


Sebaliknya beliau berkata ia memerlukan keberanian membuat keputusan sukar bagi melindungi kelangsungan ekonomi, keselamatan dan masa depan rakyat tanpa mengetepikan tanggungjawab kemanusiaan Malaysia.


"Kerajaan Madani tidak akan membiarkan rakyat tempatan terus menjadi mangsa keadaan akibat kelompongan dasar masa lalu.


"Langkah pragmatik Perdana Menteri pada hari ini adalah satu permulaan konkrit ke arah menoktahkan krisis yang telah lama membarah tanpa sebarang penyelesaian tuntas," katanya.


Terdahulu peguam hak asasi manusia, Latheefa Koya mengkritik pendirian Anwar berhubung pengurusan pelarian Rohingya termasuk dakwaan bahawa langkah kerajaan untuk menghantar pulang sebahagian pelarian berkenaan bertentangan dengan prinsip kemanusiaan dan non-refoulement.


Dalam ulasannya yang diterbitkan Malaysiakini semalam, Latheefa yang juga bekas pemimpin KEADILAN yang telah keluar parti turut mempersoalkan keputusan kerajaan untuk berunding dengan pemimpin Myanmar bagi mencari penyelesaian terhadap isu Rohingya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page