Rizab Melayu: Tanah 55.4 ekar di Tanjong Karang dibangunkan sebagai SABDA


Tanah seluas 55.401 ekar di Tanjong Karang, Sabak Bernam yang diwartakan keluar daripada status Tanah Rizab Melayu (TRM) pada 3 September lalu akan dibangunkan sebagai sebahagian daripada Sabak Bernam Development Area (SABDA).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) menjelaskan, SABDA merupakan usaha Kerajaan Negeri membangunkan anjung utara Selangor bagi meningkatkan keterjaminan makanan, mengembangkan potensi agro-pelancongan di Pesisir Pantai Barat serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada warga tempatan.
"Usaha ini diterajui oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) dan turut melibatkan komuniti tempatan seperti nelayan dan usahawan serta pihak akademia," katanya dalam kenyataan hari ini.
Amirudin berkata, bagi mencapai keseimbangan antara pembangunan tempatan dengan kepentingan TRM, tanah seluas 55.401 ekar di Hulu Selangor turut melalui proses pewartaan sebagai TRM.
Beliau berkata langkah itu dibuat susulan persoalan yang ditimbulkan mengenai status TRM di Sabak Bernam, khususnya berhubung pewartaan keluar tanah di Tanjong Karang.
Dalam pada itu, Amirudin berkata jumlah keluasan TRM di Selangor di bawah pentadbiran kerajaan negeri sejak 2018 meningkat sebanyak 2,680 ekar.
Kata beliau, keluasan TRM meningkat daripada 400,711 ekar kepada 403,391 ekar.
"Sejak tahun 2018, jumlah keluasan Tanah Rizab Melayu di Selangor di bawah pentadbiran ini telah meningkat sebanyak 2,680 ekar berbanding Kerajaan terdahulu, iaitu dari 400,711 ekar kepada 403,391 ekar," katanya.




Comments