top of page

Hj Hadi perlu tarik balik kenyataan rendahkan masyarakat bukan Islam

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
3 min read
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj

Sejak bilakah keadilan dan kezaliman seseorang manusia boleh diukur semata-mata berdasarkan agama yang dianutinya?

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj menggesa Presiden Pas, Hj Hadi Awang menarik balik kenyataannya yang mendakwa sejahat-jahat orang Islam memerintah negara tidak sezalim orang bukan Islam.


Beliau menyifatkan kenyataan yang dibuat ketika ceramah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Bukit Katil malam tadi sebagai serius kerana berpotensi menyemai prasangka dan menjejaskan hubungan masyarakat berbilang kaum serta agama.


"Saya memandang serius kenyataan sedemikian, khususnya apabila ia diungkapkan oleh seorang pemimpin politik kanan dan Ahli Parlimen yang sewajarnya memahami sensitiviti masyarakat berbilang agama dan kaum di Malaysia.


"Sejak bilakah keadilan dan kezaliman seseorang manusia boleh diukur semata-mata berdasarkan agama yang dianutinya?" katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Yuneswaran, seseorang yang melakukan penyelewengan, menyalahgunakan kuasa atau mengkhianati amanah rakyat tidak seharusnya dianggap lebih baik hanya kerana beragama Islam.


Sebaliknya, katanya, seseorang bukan Islam yang jujur, amanah dan berlaku adil tidak wajar dilabel lebih zalim hanya kerana perbezaan pegangan agama.


Beliau menegaskan, kecamannya itu bukan ditujukan kepada agama Islam, sebaliknya terhadap kenyataan yang boleh merendahkan martabat masyarakat berlainan kepercayaan.


"Kita menghormati kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, di samping menghormati hak penganut agama lain sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan," katanya.


Beliau turut mengingatkan bahawa prinsip keadilan, amanah, kejujuran dan penghormatan terhadap sesama manusia merupakan nilai luhur yang dijunjung semua agama.


Ahli Parlimen Segamat itu berkata, masyarakat bukan Islam di Malaysia juga merupakan warganegara yang menyumbang kepada pembangunan, mempertahankan keamanan, membayar cukai dan membina kemakmuran negara bersama-sama masyarakat Muslim.


Katanya, Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang serta berhak mendapat perlindungan undang-undang yang sama rata.


"Prinsip Kedaulatan Undang-Undang dalam Rukun Negara turut mengingatkan kita bahawa tanggungjawab, keadilan dan akauntabiliti mesti ditegakkan melalui undang-undang, bukannya ditentukan berdasarkan identiti agama seseorang.


"Kedaulatan Undang-Undang tidak boleh dikalahkan oleh sentimen agama atau kepentingan politik. Salah

tetap salah, dan kezaliman tetap kezaliman, tanpa mengira siapa pelakunya," katanya.


Dalam pada itu, beliau mempersoalkan bagaimana prinsip keadilan kepada semua rakyat yang turut ditegaskan Abdul Hadi dapat diselaraskan dengan kenyataan yang menggambarkan pemerintah bukan Islam secara umum sebagai lebih zalim.


Sehubungan itu, Yuneswaran menggesa Abdul Hadi memberikan penjelasan secara terbuka dan menarik balik generalisasi berkenaan bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan antara masyarakat.


"Sebagai pemimpin, tanggungjawab kita bukan sekadar mempertahankan sokongan kelompok sendiri, tetapi memelihara keamanan, kepercayaan dan masa depan seluruh rakyat Malaysia.


"Agama bukan lesen untuk berlaku zalim, dan perbezaan agama bukan bukti seseorang itu zalim. Keadilan tidak mengenal warna kulit, keturunan atau agama. Keadilan mesti menjadi milik semua," katanya.


Beliau menegaskan perpaduan negara tidak seharusnya dijadikan taruhan politik kerana kekuatan Malaysia terletak pada kemampuan rakyat hidup bersama dalam kepelbagaian, saling menghormati dan mempertahankan keadilan untuk semua.


Malam tadi, berucap di pentas Grand Finale BN dan PN, Presiden Pas Hj Hadi Awang meminta orang Islam mengundi calon seagama, yang mana perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala berbanding orang bukan Islam yang didakwanya “zalim”.


Katanya, kesan daripada orang Islam tidak keluar mengundi ialah “orang lain” yang akan jadi pemerintah dan didakwanya bakal bertindak mengikut perkiraan mereka semata-mata serta mengabaikan amanah yang diwajibkan Allah.


"Sebab itu orang Islam mesti tunaikan kewajipan ini (keluar mengundi) untuk memimpin seluruh manusia.


"Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam," katanya dipetik Malaysiakini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page