top of page

Ilmu tinggi, akhlak rendah: Hj Hadi jangan guna agama pecah-belah rakyat – Lih Kang

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
3 hours ago
2 min read
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chang Lih Kang
Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chang Lih Kang
Sebagai tokoh agama yang berilmu tinggi, beliau sepatutnya menjadi teladan dalam memupuk akhlak dan perpaduan. Malangnya, ketinggian ilmu itu tidak dicerminkan melalui kebijaksanaan dalam berbicara

Naib Presiden KEADILAN, Datuk Chang Lih Kang menyifatkan kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mendakwa sejahat-jahat orang Islam tidak sezalim orang bukan Islam sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan.


Beliau berkata, sebagai tokoh agama yang mempunyai ilmu tinggi, Hj Hadi sepatutnya menjadi teladan dalam memupuk akhlak dan perpaduan masyarakat, bukannya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan prasangka.


"Sebagai tokoh agama yang berilmu tinggi, beliau sepatutnya menjadi teladan dalam memupuk akhlak dan perpaduan. Malangnya, ketinggian ilmu itu tidak dicerminkan melalui kebijaksanaan dalam berbicara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut Chang, kenyataan sedemikian bukan pertama kali dikeluarkan Hj Hadi dan lebih membimbangkan apabila agama digunakan sebagai asas untuk membahagikan masyarakat.


Katanya, pendekatan itu seolah-olah menggambarkan akhlak seseorang ditentukan berdasarkan agama yang dianuti, sedangkan Islam sendiri menuntut umatnya berlaku adil serta menghormati sesama manusia.


Beliau turut mengingatkan bahawa keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama merupakan antara kekuatan utama Malaysia dalam membangunkan ekonomi serta menarik pelaburan.


"Kestabilan sosial membina keyakinan pelabur dan membuka peluang pekerjaan. Kenyataan yang menyakitkan hati orang dan menyemarakkan ketegangan agama hanya akan merugikan negara," ujarnya.


Dalam pada itu, Lih Kang mempersoalkan sama ada Pas terlalu terdesak mengejar kuasa sehingga sanggup mempertaruhkan perpaduan rakyat dan kestabilan negara.


Tegasnya, perbezaan politik sepatutnya diterjemahkan melalui perbahasan dasar dan usaha menyelesaikan masalah rakyat, bukannya memainkan sentimen agama demi meraih sokongan.


"Tan Sri Hadi perlu sedar bahawa kepimpinan agama bukan sekadar diukur melalui ketinggian ilmu tetapi juga kemuliaan akhlak.


"Malaysia memerlukan pemimpin yang menyatukan rakyat, bukan memecahbelahkan masyarakat. Jangan kerana terlalu ghairah mengejar kuasa, keharmonian dan masa depan negara dijadikan taruhan," katanya.


Semalam, berucap di pentas Grand Finale BN dan PN, Presiden Pas Hj Hadi Awang meminta orang Islam mengundi calon seagama, yang mana perkiraan politik dibuat berlandaskan faktor dosa dan pahala berbanding orang bukan Islam yang didakwanya “zalim”.


Katanya, kesan daripada orang Islam tidak keluar mengundi ialah “orang lain” yang akan jadi pemerintah dan didakwanya bakal bertindak mengikut perkiraan mereka semata-mata serta mengabaikan amanah yang diwajibkan Allah.


"Sebab itu orang Islam mesti tunaikan kewajipan ini (keluar mengundi) untuk memimpin seluruh manusia.


"Sejahat-jahat orang Islam, seburuk-buruk orang Islam memerintah negara, mereka tidak sezalim orang bukan Islam," katanya dipetik Malaysiakini.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page