Politik kebencian agama tidak ada tempat di Sabah – Mustapha


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud mengecam kenyataan Presiden Pas, Hj Hadi Awang yang mendakwa sejahat-jahat orang Islam memerintah negara tidak sezalim orang bukan Islam.
Beliau menyifatkan kenyataan yang dibuat ketika berucap pada Pentas Grand Finale Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka itu sebagai melampau, melangkaui batas dan tidak boleh diterima dalam apa jua konteks.
Menurutnya, kenyataan sedemikian bukan sahaja menyinggung perasaan penganut agama lain, malah berpotensi memecahbelahkan keharmonian masyarakat majmuk, terutama Sabah dan Sarawak yang sekian lama hidup dalam suasana saling menghormati tanpa mengira agama, bangsa dan budaya.
"Di Sabah, tidak ada tempat untuk politik yang mendiskriminasi penganut agama lain. Perbezaan agama bukan penghalang kepada hubungan kekeluargaan, persahabatan dan kehidupan bermasyarakat
"Malah, dalam satu keluarga sendiri ada ahli yang menganut agama berbeza, namun tetap hidup dalam suasana harmoni dan saling menghormati," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mustapha berkata, masyarakat Sabah membuktikan bahawa perbezaan agama bukan penghalang untuk hidup bersama secara harmoni, malah dalam sesebuah keluarga juga terdapat ahli yang menganut agama berbeza.
Tegasnya, Islam sendiri mengajar umatnya supaya berlaku adil kepada semua manusia tanpa mengira agama, justeru penilaian terhadap seseorang pemimpin tidak seharusnya dibuat berdasarkan agama yang dianuti.
"Keadilan dan kezaliman seseorang pemimpin mesti dinilai berdasarkan perbuatan dan integritinya, bukannya agama yang dianuti.
"Sebagai pemimpin politik dan tokoh agama, Abdul Hadi seharusnya bertanggungjawab dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan prasangka serta menjejaskan keharmonian masyarakat," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat Sabah dan seluruh rakyat Malaysia, khususnya warga Melaka, supaya menolak politik kebencian yang menjadikan agama sebagai alat untuk memecahbelahkan masyarakat.
Beliau berkata, keharmonian dan perpaduan masyarakat berbilang agama perlu dipertahankan daripada sebarang usaha yang menyemarakkan sentimen permusuhan antara penganut agama.




Comments