Reformasi tidak boleh terhenti, politik keyakinan ganti 'Melayu terancam'
- Redzuan Shamsudin

- 1 day ago
- 4 min read

Angkatan Muda KEADILAN menegaskan perjuangan Reformasi tidak boleh disempitkan kepada persoalan siapa yang memegang kerajaan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui pengukuhan institusi, pentadbiran telus, ekonomi lebih adil serta pendidikan yang membuka peluang kepada rakyat.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, negara kini berada dalam zaman yang berubah pantas dengan perkembangan teknologi, ketidaktentuan ekonomi serta peningkatan kos kehidupan yang memberi cabaran besar khususnya kepada golongan muda.
Menurut beliau, keadaan itu turut menyaksikan kepercayaan terhadap institusi dan ahli politik semakin terhakis, manakala politik identiti, sentimen kaum dan agama serta naratif ketakutan semakin mudah dieksploitasi untuk mendapatkan sokongan.
"Hari ini kita berhimpun di Melaka, di tempat yang pernah menjadi persimpangan dunia, untuk berbicara tentang satu lagi persimpangan sejarah.
"Kita berada dalam sebuah zaman yang berubah pantas. Teknologi mengubah cara kita bekerja dan berkomunikasi. Ekonomi dunia bergerak dalam ketidaktentuan. Anak muda berhadapan dengan kos kehidupan yang semakin mencabar," katanya dalam ucapan Dasar Ketua Angkatan Muda KEADILAN yang bertajuk "Menggerak Harapan, Memimpin Peribahan" di MITC, Air Keroh, Melaka, malam ini.
Kamil berkata, keputusan untuk bersama KEADILAN bukan dibuat ketika parti berada di puncak kekuasaan, sebaliknya banyak anggota menjadi ahli ketika parti berada dalam pembangkang dan berdepan tekanan dari pelbagai penjuru.
Beliau berkata, setelah menjadi Kerajaan Persekutuan perjuangan politik tidak seharusnya hanya tertumpu kepada jawatan atau kedudukan dalam kerajaan, tetapi kepada nilai yang ingin ditegakkan melalui kuasa dan organisasi.
"Politik mesti kembali kepada tujuan asalnya, mengurus amanah, memperbaiki kehidupan manusia, menegakkan keadilan dan membina sebuah masyarakat yang lebih baik untuk generasi yang akan datang," ujarnya.
Mengulas perjuangan Reformasi, Muhammad Kamil berkata gerakan itu telah berkembang menjadi lebih daripada sebuah gerakan politik kerana ia membawa kesedaran bahawa negara yang baik bukan sekadar diukur melalui pertumbuhan ekonomi, bangunan tinggi atau projek pembangunan besar.
Sebaliknya, katanya, maruah manusia, keadilan dan amanah perlu menjadi asas kepada penggunaan kuasa.
"Itulah sebabnya Reformasi tidak boleh disempitkan kepada satu tokoh, satu parti atau satu pilihan raya," katanya sambil mengakui sumbangan mereka yang terlibat dalam gerakan Reformasi sejak 1998 tetap menjadi sebahagian daripada sejarah perubahan negara.
Beliau berkata, Reformasi hari ini perlu diterjemahkan kepada institusi yang lebih kukuh, pentadbiran lebih telus, ekonomi lebih adil, pendidikan yang membuka peluang, perlindungan terhadap golongan lemah serta ruang lebih luas kepada rakyat menyatakan pandangan tanpa rasa takut.
"Di sinilah ukuran sebenar sebuah kerajaan reformis. Bukan sekadar sejauh mana ia berjaya mengurus angka ekonomi, tetapi sejauh mana pengurusan itu mengubah kehidupan manusia," katanya.
Kalah PRN isyarat rakyat belum yakin
Kamil turut mengakui kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan lalu perlu diterima sebagai isyarat bahawa sebahagian rakyat masih belum yakin politik yang dibawa KEADILAN benar-benar memaklumi kebimbangan mereka.
Katanya, sebahagian lawan politik berjaya membina naratif bahawa Melayu, Islam dan kuasa Melayu sedang terancam sehingga berjaya menyentuh emosi serta keresahan masyarakat.
Oleh itu, katanya politik ketakutan perlu dineutralkan dengan pendekatan politik keyakinan.
"Inilah perbezaan antara politik ketakutan dengan politik keyakinan. Politik ketakutan memerlukan musuh untuk terus hidup. Politik keyakinan membina kekuatan daripada ilmu, prestasi, keadilan dan keupayaan," katanya.
Pada masa sama, beliau mengakui KEADILAN perlu memperbaiki kelemahan dalam aspek komunikasi dengan memastikan pencapaian dan dasar kerajaan dapat difahami serta dirasai rakyat.
"Politik prestasi mesti disertai politik penerangan, angka mesti disertai cerita manusia, dasar mesti disertai keyakinan dan pencapaian mesti diterjemahkan kepada bahasa yang difahami rakyat."
Menurut beliau, politik ketakutan juga tidak boleh dilihat semata-mata sebagai kelemahan pihak lawan kerana ia turut berpunca daripada keresahan sebenar dalam masyarakat.
"Anak muda bimbang tentang pekerjaan. Keluarga bimbang tentang kos kehidupan. Ibu bapa bimbang tentang masa depan pendidikan anak-anak.
"Sebahagian masyarakat Melayu bimbang tentang pemilikan ekonomi dan kedudukan mereka dalam perubahan negara. Masyarakat di Sabah dan Sarawak mempunyai keresahan dan tuntutan mereka sendiri. Semua ini perlu didengar dengan serius," katanya.
Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan itu berkata, moral masyarakat Melayu perlu digilap atas keyakinan terhadap ilmu, agama, ekonomi dan teknologi, bukannya sentiasa melihat diri sebagai mangsa atau memerlukan ketakutan terhadap kelompok lain.
"Kita mahu Melayu yang mengenali sejarahnya, memahami agamanya, menguasai ilmu, memiliki keupayaan ekonomi, menguasai teknologi dan berani bersaing di peringkat dunia.
"Melayu yang memiliki keyakinan seperti ini tidak perlu menghina bangsa lain untuk membuktikan keunggulannya," jelasnya.
Beliau turut menegaskan agenda Melayu dan Bumiputera perlu bergerak melangkaui persoalan jumlah peruntukan dan bantuan, sebaliknya memberi tumpuan kepada peningkatan pemilikan ekonomi, pendapatan, kemahiran, pendidikan dan daya saing.
"Perlindungan yang baik ialah perlindungan yang membina keupayaan; bantuan yang baik ialah bantuan yang membuka jalan kepada kemandirian; dan dasar yang baik ialah dasar yang memastikan generasi berikutnya memerlukan lebih sedikit perlindungan kerana mereka telah mempunyai kekuatan untuk berdiri sendiri," katanya.
Pada masa sama AMK, kata beliau mahu pendidikan kembali menjadi alat mobiliti sosial supaya latar belakang keluarga tidak menjadi hukuman sepanjang hayat.
Kamil berkata, golongan muda daripada keluarga berpendapatan rendah perlu diberikan peluang sebenar untuk mengubah kehidupan melalui pendidikan, kemahiran dan pekerjaan yang bermaruah.
Beliau turut menegaskan politik perlu kembali menjadikan nilai sebagai asas perjuangan dan tidak hanya bergantung kepada populariti atau sentimen identiti.
"Inilah perbezaan antara politik nilai dengan politik identiti. Politik identiti mudah kerana ia memberikan manusia satu kategori untuk dipegang dan satu kelompok untuk dipersalahkan.
"Politik nilai lebih sukar kerana ia memerlukan kita menilai sesuatu berdasarkan prinsip, bukti dan kesannya kepada masyarakat," katanya.
Tegas Kamil, organisasi politik perlu kembali berfungsi sebagai institusi yang bekerja untuk rakyat, termasuklah di peringkat akar umbi.
"Politik akar umbi bukan sekadar memasang bendera atau mengumpulkan orang ketika pilihan raya; ia ialah proses membina kepercayaan dalam kehidupan seharian.
"Sebab itu kita mahu Angkatan Muda yang dekat dengan rakyat, tetapi tidak mengambil mudah rakyat; yang mendengar keluhan mereka, tetapi tidak menjadikan penderitaan mereka sebagai bahan politik," katanya lagi.




Comments