Rakyat Selangor diseru amal kesederhanaan, perkukuh semangat perpaduan
- Azuan Ab Rahman

- 1 hour ago
- 1 min read

Di tengah dunia yang sedang menghadapi cabaran peperangan dan ketidaktentuan ekonomi, rakyat Selangor digesa untuk mengamalkan kesederhanaan serta memperkukuh perpaduan menjelang Aidilfitri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar), melalui perutusan Aidilfitrinya, menekankan bahawa kesederhanaan yang dipupuk hari ini akan memberi kesan jangka panjang kepada generasi akan datang, membentuk kehidupan yang bermaruah dan berwawasan.
"Rakyat perlu membina ketahanan diri dan mental. Perpaduan serta semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Selangor akan membantu kita menghadapi sebarang ancaman luar," tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Ramadan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga peluang untuk memahami erti kemenangan sebenar.
"Sudah pasti setiap individu mencari Lailatul Qadr dan giat melakukan pelbagai kebajikan demi mardhatillah. Kemenangan sebenar dicapai oleh mereka yang berjaya mengawal keinginan, nafsu, dan jiwa, sambil menampilkan perilaku yang mulia sepanjang Ramadan," tambah beliau.
Dalam perutusan sama, Amirudin menggesa rakyat untuk meneruskan amalan murni sepanjang Ramadan, termasuk membantu golongan fakir, anak yatim, dan mereka yang kurang berkemampuan.
Beliau mengakhiri perutusan dengan ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, permohonan maaf atas segala kekurangan, serta azam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Selangor.




Comments