Rahayu mahu PH kembali tadbir Melaka, pengundi nilai potensi calon baru


Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Rahayu Hamzah mahu melihat gabungan itu kembali membentuk Kerajaan Negeri Melaka dengan Adly Zahari dilantik semula sebagai Ketua Menteri.
Dalam mencapai misi itu beliau berkata calon baharu juga perlu dinilai berdasarkan potensi, kesungguhan, pendekatan berkempen dan kesediaan memikul tanggungjawab sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.
"Saya bukan kata orang baru tak perlu dinilai. Kena nilai juga.
"Tengok pada potensi, kesungguhan dan cara dia berkempen dengan kesediaan dia memikul tanggungjawab.
"Orang lama ada rekod untuk dinilai. Orang baru pun tentu ada cara dia jika terpilih. Saya sendiri tahu, menjadi muka baharu bukan mudah," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Rahayu, 43, yang berdepan persaingan dua penjuru menentang penyandang, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh daripada Barisan Nasional (BN) berkata menjadi calon muka baharu bukan sesuatu yang mudah, lebih-lebih lagi apabila berhadapan individu yang sudah dikenali ramai.
Beliau dipercayai merujuk pendekatan kempen Akmal yang sebelum ini menyatakan tidak meminta undi daripada masyarakat sebaliknya memohon kepercayaan berdasarkan khidmatnya sepanjang hampir lima tahun menjadi wakil rakyat.
Menurut Rahayu tempoh seseorang memegang jawatan tidak seharusnya menyebabkan segala pencapaiannya dianggap sudah mencukupi manakala calon baharu pula tidak wajar terus dianggap tidak berkemampuan hanya kerana belum pernah menjadi wakil rakyat.
"Yang seorang sudah hampir lima tahun ada jawatan, gaji, peruntukan dan segala macam kelebihan sebagai wakil rakyat. Yang seorang lagi belum pernah merasa semua itu walau sehari.
"Jadi macam mana nak banding? Nak suruh orang baru tunjuk rekod lima tahun sebagai YB? Sedangkan sehari pun belum pernah diberikan amanah itu," katanya sinis.
Bagaimanapun, Ketua Wanita AMANAH Melaka itu menegaskan tidak bermaksud calon baharu tidak perlu dinilai sebaliknya penilaian boleh dibuat berdasarkan potensi, kesungguhan dan kesediaan mereka memikul tanggungjawab.
"Bukan saya nak pertikai orang turun padang. Memang kena buat begitu bila dah jadi wakil rakyat," katanya yang sebelum ini turut dilantik sebagai Penyelaras DUN Merlimau.
Pada PRN Melaka 2021, Akmal memenangi kerusi Merlimau dengan memperoleh 5,633 undi, menewaskan calon PH, Azrin Ab Majid yang mendapat 2,385 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Abd Alim Shapie dengan 1,622 undi.
Kemenangan itu memberikan Akmal majoriti 3,248 undi daripada 9,640 undi sah dalam pertandingan tiga penjuru ketika itu.
Kali ini, saingan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara BN dan PH selepas PN tidak meletakkan calon di kerusi berkenaan.
Seramai 19,759 pengundi berdaftar layak mengundi di DUN Merlimau pada PRN kali ini, meningkat 5,745 orang berbanding 14,014 pengundi pada 2021.
mStar+2
Ibu kepada empat orang anak itu berkata beliau menawarkan diri sebagai pilihan baharu kepada pengundi Merlimau dengan harapan dapat memberikan khidmat terbaik sekiranya diberikan mandat.
Beliau turut menyatakan hasrat melihat Adly kembali menerajui kerajaan negeri selain reda dengan apa juga keputusan pilihan raya kerana percaya soal menang atau kalah adalah ketentuan Allah SWT.
"Jika terpilih, Insya-Allah saya akan cuba lakukan yang terbaik untuk orang Merlimau," ujarnya.




Comments