Ginie Lim galas misi kuasai semula Machap Jaya, tamatkan kerenah birokrasi


Setelah hampir lima tahun kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya dikuasai Barisan Nasional (BN), Datuk Ginie Lim Siew Lin kini kembali ke gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dengan misi merampas semula kerusi yang pernah dimenanginya pada 2018.
Calon Pakatan Harapan (PH) itu mahu menjadikan usaha memudahkan urusan rakyat dengan agensi kerajaan serta mengatasi kerenah birokrasi sebagai antara keutamaan sekiranya diberi mandat pada PRN kali ini.
Ginie berkata beliau sering menerima aduan penduduk mengenai prosedur yang berbelit-belit sehingga urusan mudah mengambil masa berhari-hari malah ada yang berlarutan sehingga berbulan-bulan.
Menurutnya keadaan itu berlaku apabila rakyat terpaksa berulang-alik mendapatkan penjelasan daripada pelbagai pihak yang memberikan maklumat berbeza sehingga menyukarkan sesuatu urusan diselesaikan.
"Benda yang tak sampai 10 minit punya kerja, boleh jadi berhari-hari, ada tu sampai berbulan-bulan, nak selesai," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Wanita KEADILAN berkata pengalaman mendengar keluhan rakyat mendorongnya untuk melakukan perubahan bagi memastikan penduduk Machap Jaya mendapat hak dan kemudahan sewajarnya tanpa dibebani prosedur yang tidak perlu.
"Sampailah saya fikir, benda ni semua kena stop. Saya kena buat sesuatu untuk Machap Jaya. Dah tak boleh nak ketepikan apa hak orang Machap Jaya perlu dapat," katanya.
Ginie yang pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya dari 2018 hingga 2021 tidak dicalonkan pada PRN 2021, apabila KEADILAN meletakkan Law Bing Haw untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Pada PRN itu, calon BN, Ngwe Hee Sem berjaya merampas kerusi Machap Jaya selepas memperoleh 3,732 undi, menewaskan Law yang mendapat 2,794 undi dengan majoriti 938 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Ginie sebelum itu memenangi kerusi berkenaan pada PRN 2018 dengan majoriti 1,336 undi selepas memperoleh 5,550 undi.
Kepulangannya sebagai calon PH kali ini sekali gus membuka peluang untuk beliau mengembalikan kerusi berkenaan kepada gabungan itu selain membuktikan penerimaan pengundi terhadap khidmat dan tawaran baharunya.
Ginie yang merupakan salah seorang daripada tiga calon wanita KEADILAN bertanding dalam PRN kali ini berdepan saingan tiga penjuru.
Beliau menyeru pengundi memberikan peluang kepadanya untuk melaksanakan perubahan di kawasan itu.
"Kalau kita tak mulakan, bila lagi nak mula. Kalau bukan sekarang, sampai bila?" katanya.




Comments