Selangor perkasa ekonomi perak, persediaan hadapi negara menua


Kerajaan Selangor berhasrat memperluas penyertaan golongan warga emas dalam pasaran kerja menerusi latihan peningkatan kemahiran dan latihan semula.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata usaha itu selari usaha memperkasa ekonomi perak (Silver Economy) bagi menyediakan Malaysia menuju status negara menua.
"Warga emas perlu dilihat sebagai aset dan sumber tenaga kerja yang masih mampu menyumbang kepada ekonomi, bukannya beban kepada masyarakat," katanya dipetik laporan media.
Sementara itu Anfaal mengalu-alukan peruntukan lebih RM40 juta daripada Kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2027 bagi melatih 8,000 tenaga kerja dalam sektor penjagaan warga emas.
Usaha dilaksana Kerajaan Persekutuan itu jelasnya membuka peluang untuk memperkukuh sektor berkenaan serta menggerakkan ekonomi perak.
"Kerajaan Negeri sangat mengalu-alukan peruntukan ini. Kita sedang menuju ke arah status negara menua, jadi kita mahu lihat warga emas ini sebagai aset dan tenaga kerja yang aktif, bukannya beban," tambahnya.
Anfaal yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer sementara itu turit menyatakan komitmen Kerajaan Selangor bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia serta agensi latihan kemahiran bagi melaksanakan program peningkatan kemahiran dan latihan semula bersesuaian dengan keperluan pasaran.
Antara bidang yang diberi perhatian termasuk kemahiran digital dan ekonomi berasaskan komuniti bagi membolehkan warga emas terus produktif serta mempunyai peluang menyertai pasaran kerja.




Comments