PRU-16: AMANAH Perlis digesa perkukuh jentera, sasar rampas negeri
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 2 min read

Bahang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) semakin terasa, parti-parti politik mula menyusun strategi dan memperkemaskan gerak kerja bagi memastikan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat pada tahap optimum.
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Mohamad Sabu (gambar), mengingatkan pimpinan dan ahli parti di negeri paling utara Semenanjung supaya tidak leka, sebaliknya segera memperkukuh organisasi parti dari sekarang tanpa menunggu hampirnya pilihanraya.
Menurut beliau, jentera parti perlu digerakkan lebih awal agar tidak berada dalam keadaan kelam-kabut apabila tiba waktu kempen sebenar.
"Malam ini saya sempat bersama pimpinan dan ahli AMANAH Negeri Perlis. Dalam banyak perkara yang dibincangkan, saya tekankan satu pesan penting iaitu jangan leka.
"AMANAH Perlis kena perkemaskan jentera dari sekarang. Jangan tunggu dekat PRU baru nak kalut bergerak," katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau yang mesra dikenali sebagai Bang Mat turut menegaskan kepentingan menjaga hubungan dalam Kerajaan Perpaduan MADANI bagi memastikan kestabilan politik terus terpelihara.
"Kita dalam Kerajaan Perpaduan MADANI ini kena jaga hubungan dan eratkan kerjasama. Insya-Allah, kalau syarat ini kita pegang kuat, tidak mustahil Perlis boleh kita tawan semula pada PRU-16 nanti," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad turut meluangkan masa menziarahi Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin dalam suasana penuh hormat dan ukhuwah.
Beliau berkata pertemuan tersebut memberi ruang untuk bertanya khabar serta berbual ringkas dengan tokoh yang disifatkannya sebagai sosok yang dihormati.
"Tengah hari tadi saya menziarahi Tuan Guru Datuk Hashim Jasin. Alhamdulillah, dapat bertanya khabar dan berbual ringkas dengan beliau," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menekankan bahawa perbezaan wadah perjuangan politik tidak seharusnya memutuskan hubungan persaudaraan sesama Islam.
"Dalam hidup ini, wadah perjuangan politik mungkin berbeza, jalan yang kita pilih mungkin tidak sama, namun ukhuwah sesama Muslim itu wajib kita pelihara.
"Politik hanyalah jambatan untuk kita berkhidmat kepada rakyat dan negara, tetapi tali persaudaraan adalah amanah yang melangkaui segala-galanya," katanya lagi.
Beliau turut mendoakan agar bekas Ahli Parlimen Arau itu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta kekuatan dalam meneruskan perjuangan.




Comments