top of page

Projek berimpak tinggi kepada rakyat dipercepatkan - MB Selangor

  • Writer: Azuan Ab Rahman
    Azuan Ab Rahman
  • May 16
  • 1 min read

Kerajaan Negeri Selangor akan terus memberi perhatian serius terhadap isu tebatan banjir, pengurusan jalan raya, pembangunan industri sisa kepada tenaga serta pelaksanaan projek-projek pembangunan yang memerlukan pemantauan rapi dan tindakan segera.


Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu sebagai menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor yang lalu.


"Dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi global, seluruh jentera Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu bergerak secara bersepadu bagi memastikan setiap dasar dan pelaksanaan projek benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.


"Pegawai daerah serta semua jabatan juga perlu lebih proaktif dalam mengenal pasti keperluan mendesak rakyat khususnya projek-projek kecil berimpak tinggi yang tidak boleh ditangguhkan," katanya menerusi hantaran di Facebook.


Hantaran itu menyusul Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Selangor (MTPNg) Bilangan 2 Tahun 2026 yang dipengerusikannya pada Jumaat.


Mesyuarat tersebut bagi meneliti pelaksanaan projek pembangunan serta tindakan susulan berkaitan isu-isu utama yang memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat Selangor.


"Mesyuarat turut meneliti keputusan hasil Mesyuarat Pembangunan Negeri Selangor dan Daerah Petaling bersama Perdana Menteri sebelum ini melibatkan beberapa isu penting antaranya pengurusan sisa pepejal, projek tebatan banjir, kesejahteraan rakyat, pengurusan jalan raya, isu rumah ibadat selain Islam tanpa kebenaran serta pengawalseliaan aktiviti penternakan.


"Saya menggesa agar projek yang memberi manfaat kepada rakyat dipercepatkan agar lebih ramai dapat menikmati dan merasai manfaat pembangunan negeri," jelasnya.


Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin turut memaklumkan, sehingga 4 Mei 2026, prestasi perbelanjaan projek dan program RP1 RMKe-13 Negeri Selangor telah mencapai RM989 juta atau 27.24% daripada keseluruhan peruntukan RM3.63 bilion, melepasi purata nasional.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page