top of page

PRN NS: Gelombang Merah PH Masih Membara, Pertempuran Belum Selesai

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 5 hours ago
  • 3 min read
DS Anwar sebagai mantan Ahli Parlimen Port Dickson masih mempunyai pengaruh di Negeri Sembilan
DS Anwar sebagai mantan Ahli Parlimen Port Dickson masih mempunyai pengaruh di Negeri Sembilan

Oleh: Shahbudin Embun


ULASAN: Rencana yang disiarkan oleh Utusan Malaysia baru baru ini memberikan gambaran bahawa blok BN-PN mempunyai kelebihan untuk membentuk Kerajaan Negeri Sembilan. Namun, sebagai seorang penganalisis politik, saya melihat keadaan sebenar di lapangan jauh lebih seimbang dan dinamik.


Hakikatnya, Negeri Sembilan bukan Johor. Gelombang Biru yang melanda Johor tidak semestinya berulang di Negeri Sembilan kerana komposisi pengundi, corak demografi, sejarah pengundian serta hubungan antara kaum amat berbeza.


Apa yang sedang berlaku sekarang ialah kemunculan Gelombang Merah Pakatan Harapan yang semakin dirasai selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri turun ke lapangan bertemu rakyat. Pendekatan beliau yang menerangkan dasar Kerajaan MADANI, menjawab fitnah serta memberi keyakinan mengenai hala tuju ekonomi mula mengubah sentimen sebahagian pengundi atas pagar.


Beberapa faktor perlu diberi perhatian PH


Namun PH tidak boleh mengambil mudah beberapa faktor yang boleh menggugat kedudukannya.


Pertama, isu-isu lama yang melibatkan kepimpinan BN masih dimainkan secara agresif oleh lawan. Walaupun sebahagian besar isu tersebut telah lama dijawab, ia terus digunakan bagi membentuk persepsi negatif terhadap Kerajaan Perpaduan.


Kedua, kadar keluar mengundi penyokong PH, khususnya pengundi bandar dan generasi muda mesti berada pada tahap yang tinggi. Sekiranya mereka tidak keluar mengundi, banyak kerusi marginal boleh berubah tangan hanya dengan beberapa ratus undi.


Ketiga, pertandingan tiga, empat dan lima penjuru boleh menghasilkan keputusan yang sukar dijangka. Dalam keadaan begini, kemenangan tidak lagi memerlukan majoriti besar tetapi bergantung kepada pecahan undi.


Keempat, PN akan terus memainkan sentimen agama, kaum dan kos sara hidup untuk mempengaruhi pengundi Melayu. Naratif sebegini perlu dijawab dengan fakta dan prestasi kerajaan.


Bersatu masih menjadi faktor


Saya bersetuju bahawa Bersatu mungkin tidak memenangi banyak kerusi. Namun persoalan utama ialah daripada blok manakah undi mereka datang.


PH masih mempunyai penyokong tegar dalam kalangan bukan Melayu
PH masih mempunyai penyokong tegar dalam kalangan bukan Melayu

Jika majoriti undi Bersatu datang daripada bekas penyokong PH, maka PH akan mengalami kesukaran. Tetapi jika undi tersebut datang daripada kelompok pengundi Melayu yang sebelum ini cenderung kepada PN atau pengundi protes terhadap BN, maka blok pembangkang sendiri akan berpecah dan memberi kelebihan kepada PH di beberapa kerusi marginal.


Oleh itu, kesan Bersatu tidak boleh digeneralisasikan di seluruh Negeri Sembilan.


Sebaliknya jika PH kehilangan Negeri Sembilan, kesannya bukan sekadar kehilangan sebuah kerajaan negeri. Ia akan membuka ruang kepada PN membina persepsi bahawa Kerajaan Perpaduan semakin ditolak rakyat.


Apakah remedi perlu dilakukan PH?


Pertama, PMX perlu meneruskan siri jelajah sehingga hari terakhir kempen bagi menjelaskan dasar kerajaan secara terus kepada rakyat.


Kedua, fokus kempen perlu diberikan kepada pencapaian Kerajaan MADANI dalam ekonomi, pelaburan, bantuan rakyat, peluang pekerjaan serta kestabilan politik.


Ketiga, setiap fitnah dan serangan media sosial hendaklah dijawab segera dengan fakta yang tepat.


Keempat, kempen perlu tertumpu kepada pengundi muda, wanita dan pengundi atas pagar kerana merekalah yang akan menentukan keputusan di kerusi-kerusi marginal.


Pertarungan sengit


Saya berpandangan bahawa PRN Negeri Sembilan masih merupakan pertarungan 50-50. BN mungkin tidak mengulangi tsunami Johor, manakala PH pula masih mempunyai peluang yang besar untuk mempertahankan Negeri Sembilan sekiranya berjaya meningkatkan kadar keluar mengundi, mengekalkan perpaduan jentera dan memanfaatkan sepenuhnya pengaruh YAB Perdana Menteri.


Pertempuran sebenar bukan mengenai siapa paling kuat di media sosial, tetapi siapa yang berjaya meyakinkan pengundi pada hari pengundian.


Dalam politik, persepsi boleh berubah dalam tempoh 24 jam terakhir. Dan itulah sebabnya saya percaya bahawa Gelombang Merah masih hidup, masih bergerak dan masih mempunyai peluang mempertahankan Wisma Negeri daripada jatuh ke tangan lawan.

Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik SEKPUR (Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat Malaysia)


*Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis, bukannya pendirian rasmi Suara Keadilan

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page