PRN Melaka: Saingan pelbagai penjuru beri kelebihan kepada PH


Pertandingan banyak penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka mampu membuka lebih banyak peluang kepada Pakatan Harapan (PH) mencapai kemenangan.
Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari menjelaskan bahawa dari sudut strategi, situasi tersebut kadangkala lebih menguntungkan berbanding pertandingan dua penjuru semata-mata.
"Berdasarkan pengalaman saya menghadapi pertandingan empat penjuru sebelum ini, jumlah calon yang ramai bukanlah penghalang untuk meraih kemenangan, sebaliknya membuka ruang yang boleh dimanfaatkan oleh parti bertanding.
"Sebenarnya kalau kita lihat, memang ada cabaran dan juga kelebihannya dari segi strategi kita. Kadang-kadang pertandingan dua penjuru lebih sukar berbanding dengan pertandingan tiga penjuru," katanya dipetik laporan media.
Adly ditemui pemberita selepas Majlis Minum Petang Bersama Pengamal Media Melaka di Ayer Keroh pada Jumaat.
Majlis tersebut turut dihadiri Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Melaka, Adam Adli Abdul Halim, serta Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad.
Dalam pada itu, Adly memaklumkan bahawa PH bakal bertanding di 24 kerusi pada PRN kali ini, berbanding 21 kerusi yang diumumkan sebelumnya.
Jelas beliau, keputusan menambah bilangan kerusi tersebut dibuat selepas mengambil kira perkembangan politik semasa serta potensi gabungan berkenaan untuk memenangi pilihan raya.
"Sebelum ini kita telah mengesahkan 21 kerusi. Namun, selepas menilai potensi serta fokus gabungan, kita memutuskan untuk menambahnya kepada 24 kerusi bagi memaksimumkan peluang kemenangan calon-calon kita," katanya.




Comments