PRN Melaka: PH yakin mampu bawa perubahan lebih baik


Pengarah Pilihanraya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) menyuarakan keyakinan bahawa negeri Melaka bakal menikmati perubahan lebih baik sekiranya ditadbir gabungan itu.
Beliau berkata, PH tidak datang dengan tangan kosong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, sebaliknya membawa bersama harapan, bukti, serta pengalaman pentadbiran di pelbagai peringkat, termasuk di Melaka sebelum ini.
Berucap pada majlis pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan raya PH bagi PRN Melaka ke-16 di pekarangan Stadium Hang Jebat malam tadi, beliau turut menyeru rakyat Melaka agar memberikan mandat kepada gabungan tersebut untuk mentadbir negeri berkenaan.
"Tanggapan bahawa Melaka tidak akan berubah dan sentiasa menjadi kubu kuat Umno perlu diketepikan, keputusan pilihanraya terdahulu membuktikan rakyat mampu membuat pilihan yang berbeza.
"Saya sebagai Pengarah Pilihanraya PH mempunyai keyakinan bahawa Melaka boleh melakukan perubahan dengan mengundi PH," katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor sementara itu berkata, PH membawa gagasan menjadikan Melaka sebagai 'rumah bersama' bagi seluruh rakyat negeri itu tanpa mengira latar belakang atau kelompok tertentu.
Pentadbiran yang baik tegasnya perlu memastikan rakyat dapat hidup dengan selesa, aman, dan damai, selain menikmati kemakmuran hasil pembangunan negeri.
"Ketika kita membangun, jangan sampai ada yang tercicir. Kita mahu memastikan sektor pelancongan dan pelaburan berkembang, tetapi pada masa sama rakyat Melaka juga dapat hidup dengan baik.
"Golongan yang susah perlu dibantu, manakala mereka yang ingin belajar perlu diberikan sokongan," tambahnya.




Comments