Henti budaya menyalahkan, fokus selesai masalah rakyat – Amirudin


Naib Presiden KEADILAN, menyeru agar usaha membela nasib rakyat dijadikan keutamaan semua pihak berbanding menjadikan sesuatu isu sebagai medan pertelingkahan.
Semua pihak diseru agar mengutamakan usaha membela nasib rakyat berbanding menunggang sesuatu isu sebagai modal pertelingkahan
Beliau berkata, budaya menyalahkan pihak lain tidak membawa sebarang manfaat dan hanya menjejas perpaduan masyarakat sekiranya terus dibiarkan.
"Cabaran yang dihadapi masyarakat perlu ditangani secara berhemah disertai usaha memastikan rakyat mendapat manfaat daripada kemajuan yang dicapai, termasuk menerusi peningkatan kualiti hidup dan kesejahteraan masyarakat.
"Fokus utama kita adalah untuk menyelesaikan masalah, bukannya mencari salah. Sekiranya setiap isu terus dilampias melalui kemarahan dan perbezaan, tiada penyelesaian yang akan dicapai," katanya dipetik laporan media.
Menteri Besar Selangor itu berkata demikian ketika berucap pada Program Madani Kita (PMK) Bersama-sama Komuniti Sungai Ramal di Kajang pada Sabtu.
Sementara itu, Amirudin turut berkongsikan kejayaan Selangor mengekalkan kedudukan negeri itu sebagai penyumbang utama ekonomi negara dengan sumbangan kira-kira 26 peratus kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan kepentingan negeri berkenaan dalam menggerakkan aktiviti ekonomi negara, dengan nilai ekonominya dilaporkan berada pada paras ratusan bilion ringgit.
"Dalam aspek pembangunan modal insan, kerajaan negeri meningkatkan peruntukan pendidikan kepada RM138 juta pada tahun lalu bagi memperluas pelaksanaan program berkaitan.
"Langkah ini mencerminkan usaha kerajaan negeri memperluas sokongan kepada golongan pelajar, selain memastikan pembangunan ekonomi Selangor turut disusuli manfaat dalam bidang pendidikan dan kesejahteraan rakyat," jelasnya.




Comments