top of page

Farhan sumbang RM30,000 untuk kebajikan pendidik daerah Kuantan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
2 hours ago
1 min read
Datuk Farhan (kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan
Datuk Farhan (kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan

Golongan guru dan pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi berperanan penting dalam membentuk sahsiah, pemikiran dan nilai asas kepada sesebuah bangsa.


Justeru itu, kebajikan dan kesejahteraan guru tidak wajar dipandang sebagai perkara remeh, kata Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi.


"Kita sering bercakap tentang betapa besar peranan guru dalam membentuk masa depan anak, namun dalam kita meletakkan harapan tinggi kepada pendidik, jangan sesekali kita lupa mereka juga mempunyai kehidupan, keluarga, tanggungjawab dan impian yang ingin dicapai.


"Sektor pendidikan sentiasa menjadi agenda utama Kerajaan MADANI dan terus diberikan perhatian termasuk menerusi peningkatan peruntukan untuk Kementerian Pendidikan kepada hampir RM69 bilion dalam Belanjawan 2027


"Kebajikan kumpulan pendidik turut diberikan perhatian melalui peningkatan Insentif Pengajaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas daripada RM250 kepada RM300 sebulan," katanya dipetik laporan media.


Ahmad Farhan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan pada Sabtu bagi meraikan 642 individu yang menerima penghargaan.


Pada acara tersebut, Ahmad Farhan turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM30,000 sebagai tanda komitmen terhadap kebajikan warga pendidik dan kecemerlangan pendidikan di daerah tersebut.


"Saya berharap sumbangan ini dapat dimanfaatkan secara berhemah bagi memenuhi keperluan pendidikan di daerah ini, khususnya dalam menambah baik kemudahan, memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran serta mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif.


"Mudah-mudahan manfaatnya dapat dirasai secara langsung oleh guru dan murid, sekali gus menyumbang kepada peningkatan mutu serta pencapaian pendidikan setempat," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page