top of page

Hakimin sedia bawa suara baharu, cabar kubu BN di DUN Ayer Molek

Writer: Redzuan Shamsudin
Redzuan Shamsudin
37 minutes ago
2 min read
Muhammad Hakimin ketika ditemui Suara Keadilan selepas pengumuman calon malam tadi
Muhammad Hakimin ketika ditemui Suara Keadilan selepas pengumuman calon malam tadi

Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Muhammad Hakimin Mokhtar bertekad memberikan saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN) di kerusi yang belum pernah dimenangi PH itu.


Ketua Angkatan Muda KEADILAN Melaka itu berkata, latar belakangnya yang berasal dari Hang Tuah Jaya, termasuk mengundi di kawasan Parlimen berkenaan, menjadi antara faktor yang mendorongnya membawa suara baharu kepada penduduk Ayer Molek.


"Insya-Allah, akan cuba yang terbaik berlawan di kubu BN.


"Saya berasal dari Hang Tuah Jaya, DUN Ayer Molek berada bawah Parlimen Hang Tuah Jaya. Saya mengundi di bawah Hang Tuah Jaya," katanya ketika ditemui dalam Majlis Pengumuman Calon di perkarangan Stadium Hang Jebat malam tadi.


Menurut Hakimin, Ayer Molek mempunyai majoriti pengundi muda yang berpotensi memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan pilihanraya.


"Harapan bagi DUN Ayer Molek yang majoriti anak muda, Insya-Allah saya akan bawa suara baharu untuk pengundi Ayer Molek," katanya.


Beliau mengakui PH berdepan cabaran besar di kerusi berkenaan kerana kawasan itu tidak pernah dimenangi gabungan tersebut.


Hakimin turut menyatakan bahawa calon BN yang bakal bertanding di kawasan itu difahamkan pertama kali bertanding dan bukan penyandang.


Dalam usaha mendekati pengundi, beliau berkata AMK Melaka memberi tumpuan kepada pelbagai program yang menyasarkan golongan muda.


Katanya, pengundi berusia 18 tahun ke atas atau Undi18 kini menjadi kelompok penting dalam pilihanraya, sekali gus memerlukan pendekatan yang lebih dekat dengan keperluan serta aspirasi mereka.


"Saya diberitahu sekarang Undi18 adalah watak penting dalam pilihanraya dan mereka juga merupakan salah satu faktor kemenangan," katanya.


Beliau berkata AMK Melaka giat menganjurkan program bagi mendekati anak muda, termasuk menerusi kerjasama dengan agensi Kerajaan Persekutuan.


Hakimin berharap pendekatan berterusan kepada golongan muda dapat membuka ruang kepada PH untuk menyampaikan tawaran dan mendapatkan sokongan pengundi Ayer Molek pada Pilihan Raya Negeri Melaka akan datang.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page