Lindungi kebebasan bersuara aktivis mahasiswa biarpun berbeza pendapat


Biro NGO dan Sukarelawan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor menegaskan kebebasan bersuara perlu dilindungi bagi memastikan mahasiswa, aktivis pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan dapat menyuarakan pandangan tanpa berdepan intimidasi.
Ketua Biro NGO dan Sukarelawan AMK Selangor, Tamilarasu Thamil Kalai berkata, kontroversi membabitkan mahasiswi Universiti Malaya, Ummi Umairah Bakhit baru baru ini, mencetuskan perdebatan lebih besar mengenai ruang kebebasan bersuara dan budaya menerima perbezaan pendapat di Malaysia.
Menurutnya, isu itu bukan sekadar perbezaan pandangan mengenai tokoh politik atau isu semasa, sebaliknya turut membabitkan hak anak muda untuk menegur ketidakadilan dan memperjuangkan kepentingan masyarakat.
"Adakah anak muda di negara ini diberikan ruang yang selamat untuk menyuarakan pandangan, menegur ketidakadilan dan memperjuangkan kepentingan masyarakat tanpa berhadapan intimidasi?" tanyanya dalam kenyataan media.
Beliau berkata, mahasiswa, aktivis NGO dan sukarelawan memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat yang prihatin, berani serta bertanggungjawab.

Ujarnya, sumbangan golongan itu bukan sahaja melalui kerja kebajikan, program komuniti dan bantuan kepada golongan memerlukan, malah merangkumi penyertaan dalam perbincangan berkaitan isu sosial, integriti dan kepentingan awam.
Sehubungan itu, Tamilarasu berkata, semangat kesukarelawanan juga perlu merangkumi keberanian menyuarakan kebimbangan masyarakat serta mempersoalkan perkara yang dianggap tidak wajar demi membawa perubahan positif.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kebebasan bersuara perlu disertai tanggungjawab, termasuk memastikan kenyataan yang dibuat berasaskan fakta serta tidak menjejaskan maruah orang lain.
"Kami turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara datang bersama tanggungjawab. Setiap individu perlu memastikan kenyataan yang dibuat berasaskan fakta, menghormati maruah orang lain dan tidak menyebarkan fitnah atau maklumat yang tidak disahkan," katanya.
Beliau juga mengingatkan supaya perbezaan pandangan dalam kalangan anak muda tidak dijadikan alasan untuk menyekat suara mereka.
"Jangan hukum anak muda hanya kerana mereka berani bertanya. Jangan intimidasi aktivis hanya kerana mereka berani berbeza pendapat.
"Dan jangan sempitkan makna kesukarelawanan sehingga suara mereka yang memperjuangkan kepentingan masyarakat diketepikan," katanya lagi.
Untuk rekod, Ummi Umairah diintimidasi sepanjang minggu lalu kerana bertanyakan soalan dalam satu forum, apakah perlu rakyat Malaysia memberikan derma bagi membayar denda ke atas bekas perdana menteri Najib Razak bagi membenarkan beliau menjalani tahanan rumah.




Comments