top of page

Hasutan kebencian kaum ancam keamanan, keharmonian masyarakat majmuk

Writer: Sidiqin Omar
Sidiqin Omar
1 hour ago
2 min read

Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) mengingatkan bahawa usaha menanam kebencian antara kaum dan agama hanya akan menggugat keamanan serta keselamatan negara, sekali gus menjejaskan masa depan rakyat berbilang kaum di Malaysia.


Perdana Menteri berkata, tiada negara yang mampu menikmati keamanan dan kestabilan sekiranya politik terus menggunakan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan.


Beliau berkata, rakyat perlu mengambil iktibar daripada sejarah kemerdekaan negara yang menyaksikan kekuatan orang Melayu, Cina dan India disatukan bagi memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.


"Tidak ada negara di dunia yang akan selesa dan selamat kalau terus menghasut kebencian antara kaum dan agama," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di perkarangan Stadium Hang Jebat, malam tadi.


Anwar berkata, Melaka mempunyai sejarah besar dalam pembinaan tamadun dan hubungan antara masyarakat, justeru semangat kerjasama yang membentuk kejayaan negeri itu perlu dipertahankan.


Menurutnya, usaha membangunkan negara dan negeri tidak boleh bergantung kepada sentimen kemenangan satu kaum semata-mata, sebaliknya memerlukan penyatuan tenaga seluruh rakyat.


"Bagaimana nak menang dengan tanam permusuhan sana satu sama lain? Bagaimana pekerjaan masa depan anak-anak kita? Bagaimana mutu pendidikan mereka?" katanya.


Beliau turut menegaskan bahawa perpaduan tidak bermakna rakyat perlu mengetepikan identiti masing-masing, sebaliknya kepentingan bahasa, budaya, akidah, akhlak dan nilai masyarakat perlu dipelihara tanpa mencetuskan permusuhan.


Anwar berkata, pembangunan negara harus memberi perhatian kepada keperluan rakyat termasuk peluang pekerjaan, pendidikan, kemajuan teknologi, kebajikan golongan miskin serta perlindungan tempat ibadat semua kaum dan agama.


Katanya, rakyat perlu menolak pendekatan politik yang mengutamakan pertelingkahan kaum kerana ia tidak membantu menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi masyarakat.


Beliau juga mengingatkan bahawa Malaysia mempunyai kekuatan tersendiri sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama yang mampu hidup dalam suasana aman serta bekerjasama membina masa depan bersama.


Sehubungan itu, Anwar menyeru jentera Pakatan Harapan supaya menggunakan kempen pilihan raya untuk menerangkan dasar, pencapaian dan perancangan kepada rakyat, bukannya mencaci atau memburukkan pihak lain.


"Kita guna kesempatan ini menerangkan apa yang kita lakukan dan apa yang mampu kita tingkatkan," katanya.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page