top of page

Inovasi, pendigitalan kunci perkukuh daya saing industri negara - PM

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
59 minutes ago
1 min read
DS Anwar dan Menteri MITI, DS Johari Ghani pada majlis Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026
DS Anwar dan Menteri MITI, DS Johari Ghani pada majlis Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026

Inovasi, pendigitalan dan transformasi teknologi perlu terus diperkasa bagi memperkukuh daya saing industri negara serta memastikan syarikat tempatan mampu mendepani persaingan global.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata daya cipta dan inovasi merupakan kekuatan utama industri yang perlu diperkukuh melalui pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendigitalan serta penerapan teknologi baharu.


Beliau berkata demikian menerusi perkongsian sempena Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 yang berlangsung malam ini, bagi meraikan kejayaan syarikat tempatan serta mengiktiraf kecemerlangan, daya saing, inovasi dan ketahanan perniagaan.


Menurut Anwar, pemain industri perlu pantas menyesuaikan diri dengan perubahan, meningkatkan produktiviti dan meneroka pendekatan baharu yang lebih berdaya saing bagi memastikan pertumbuhan perniagaan yang mampan.


Beliau menegaskan bahawa usaha membawa Malaysia ke tahap pembangunan yang lebih tinggi memerlukan keberanian untuk melakukan pembaharuan, selain memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan berkesan dan menghasilkan impak yang nyata.


Katanya, negara tidak boleh terus terikat dengan pendekatan lapuk, sebaliknya perlu memperkukuh keupayaan industri melalui perubahan yang mampu meningkatkan produktiviti serta daya tahan ekonomi.


Anwar turut berharap kemajuan sektor perindustrian dapat memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat melalui pewujudan peluang pekerjaan berkualiti, pembangunan bakat berkemahiran tinggi dan peningkatan taraf hidup.


Beliau berkata usaha memperkukuh sektor industri perlu bergerak seiring dengan pembangunan modal insan bagi memastikan rakyat turut menikmati hasil pertumbuhan ekonomi negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page