top of page

PM lancar NCLAP30, ikhtiar komprehensif tangani kos sara hidup

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
7 minutes ago
2 min read
DS Anwar melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) bersama Menteri KPDN Datuk Armizan dan Timbalan beliau Datuk Dr Fuziah Salleh
DS Anwar melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) bersama Menteri KPDN Datuk Armizan dan Timbalan beliau Datuk Dr Fuziah Salleh

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) bagi menangani tekanan kos sara hidup dan meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.


Pelan tindakan bagi tempoh lima tahun itu menggariskan 429 ikhtiar menerusi 35 strategi yang merangkumi lapan kluster strategik dirangka sebagai kerangka tindakan nasional untuk menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif berkaitan kos sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata NCLAP30 menetapkan dua keutamaan, iaitu meningkatkan pendapatan rakyat serta menstabilkan harga barangan serta perkhidmatan asas.


"Pelan ini merangkumi usaha meneruskan dan menambah baik inisiatif sedia ada termasuk komitmen fiskal selain memperkenal ikhtiar baharu bagi menangani isu kos sara hidup.


"Ia juga bersifat dinamik bertujuan memastikan pelan tindakan berkenaan kekal relevan dan boleh disesuaikan dalam mendepani cabaran domestik selain ketidaktentuan geopolitik serta geoekonomi global," katanya dipetik pada sidang media di Melaka semalam.


Majlis pelancaran yang berlangsung di Kompleks Sukan Hang Jebat, Krubong itu turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Fuziah Salleh.


Armizan sementara itu menjelaskan, lapan kluster terkandung di dalam pelan tersebut adalah membabitkan pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum.


Pelaksanaannya yang turut melibatkan kerjasama sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat selari dengan hala tuju dasar utama negara termasuk Kerangka Ekonomi MADANI dan Rancangan Malaysia Ke-13


"Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) diberi mandat lebih luas untuk memantau pelaksanaan semua ikhtiar sara hidup merentasi kementerian dan agensi kerajaan.


"Matlamatnya ialah supaya 429 ikhtiar sara hidup yang digariskan ini dapat dilaksanakan dengan sehabis baik, secara teratur, bersasar dan tidak ada pertindihan untuk mencapai keberhasilan yang optimum," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page