top of page

PRN Melaka: PH perlu nilai semula pendekatan - Saifuddin

Writer: Azuan Ab Rahman
Azuan Ab Rahman
21 hours ago
2 min read
Ketua Sekretariat Operasi Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH), Saifuddin Shafi Muhammad
Ketua Sekretariat Operasi Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH), Saifuddin Shafi Muhammad

Ke hadapan, keutamaan strategik hendaklah diberikan kepada usaha memperkukuh organisasi, meningkatkan mutu komunikasi dasar, membangunkan kepimpinan yang berwibawa dan memastikan setiap keputusan politik berpaksikan kepentingan rakyat

Perubahan landskap politik menuntut Pakatan Harapan (PH) untuk terus memperbaiki pendekatan dan memahami kehendak rakyat.


Ketua Sekretariat Operasi Jabatan Pilihan Raya Pakatan Harapan (JPPH), Saifuddin Shafi Muhammad berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 merupakan isyarat penting yang perlu diteliti.


"Keputusan pilihanraya perlu dilihat bukan sekadar sebagai penentuan kedudukan untuk satu penggal, tetapi sebagai peringatan berterusan bahawa amanah rakyat menuntut kejujuran, kesungguhan dan keupayaan untuk berubah mengikut keperluan zaman.


"Perubahan landskap politik menuntut PH untuk terus memperbaiki pendekatan dan memahami kehendak rakyat. Kepercayaan rakyat perlu sentiasa dipelihara melalui kepimpinan berintegriti, dasar yang berkesan, penyelesaian masalah serta hubungan yang erat dengan masyarakat," katanya menerusi kenyataan.


Mengulas keputusan PRN semalam beliau menegaskan, keputusan tersebut harus dihormati dengan penuh kematangan dan rasa tanggungjawab namun tidak wajar ditafsirkan hanya berdasarkan jumlah kerusi dimenangi.

Dari sudut strategik jelasnya, keputusan perlu diperhalusi melalui pola pengundian, perubahan sokongan, tahap penyertaan pengundi, kecenderungan setempat serta isu-isu yang mempengaruhi pertimbangan rakyat.


"Angka pilihanraya memberikan keputusan, namun analisis yang teliti membantu kita memahami mesej di sebaliknya


"Pasca pilihan raya perlu dimanfaatkan sebagai ruang penilaian yang objektif dan menyeluruh. Penilaian hendaklah berpandukan fakta serta dilaksanakan dengan keterbukaan untuk menerima teguran dan pandangan yang berbeza.


"Ke hadapan, keutamaan strategik hendaklah diberikan kepada usaha memperkukuh organisasi, meningkatkan mutu komunikasi dasar, membangunkan kepimpinan yang berwibawa dan memastikan setiap keputusan politik berpaksikan kepentingan rakyat," tambahnya.


Menerusi kenyataan tersebut beliau turut menzahirkan penghargaan kepada petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), anggota keselamatan serta ejen pengundian dan pengiraan undi yang terlibat dalam proses pilihan raya tersebut.


Mewakili Sekretariat JPPH, Saifuddin turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada rakyat Melaka yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka.


Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page