Projek rintis di KL, warga emas tinggal bersendirian dipantau sensor pintar


Seramai 25 hingga 50 warga emas yang tinggal bersendirian di Razak Mansion, Kuala Lumpur bakal mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek rintis sistem keselamatan berasaskan teknologi pintar.
Inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) itu bertujuan meningkatkan keselamatan serta kesejahteraan warga emas, sekali gus membolehkan mereka menjalani kehidupan lebih selamat dan berdikari.
Menurut kenyataan Kementerian Komunikasi, sistem berasaskan teknologi Internet Benda (IoT) itu menggunakan pengesan pintar yang mampu mengenal pasti situasi berisiko bagi membolehkan tindakan awal diambil ketika berlaku kecemasan.
Antara situasi yang boleh dikesan termasuk penghuni terjatuh, pergerakan luar biasa atau ketiadaan sebarang pergerakan dalam tempoh tertentu.
"Aspek privasi dan keselamatan penghuni turut diberikan keutamaan dalam pelaksanaan sistem ini.
"Teknologi pengesanan kehadiran dan pergerakan penghuni menggunakan pengesan haba badan tanpa penggunaan kamera dapat memastikan keselamatan dipantau dari semasa ke semasa tanpa menjejaskan privasi, maruah dan kebebasan peribadi warga emas," kata kenyataan itu.
Menerusi sistem berkenaan, sebarang kejadian tidak diingini atau situasi kecemasan akan mencetuskan notifikasi automatik ke telefon bimbit penjaga serta pihak pengurusan bangunan bagi membolehkan tindakan susulan dan bantuan diberikan segera.
Penggunaan teknologi itu juga berpotensi memanfaatkan kesalinghubungan rangkaian 5G bagi menyokong penghantaran maklumat dan notifikasi dengan lebih pantas serta cekap.
Menurut kementerian itu, pelaksanaan inisiatif berkenaan bukan sekadar memperkenalkan teknologi pintar di kawasan perumahan, sebaliknya membawa pendekatan baharu dalam penjagaan kebajikan warga emas.
"Pendekatan ini membolehkan golongan berkenaan terus menetap di kediaman sendiri dengan selesa dan bermaruah tanpa mengabaikan aspek keselamatan," kata kenyataan itu lagi.
Kerjasama strategik JWP dan Kementerian Komunikasi itu turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI memanfaatkan teknologi digital untuk kesejahteraan rakyat serta membangunkan komuniti bandar yang lebih pintar, inklusif dan prihatin terhadap keperluan golongan rentan.




Comments