top of page

Komitmen Malaysia perkukuh ASEAN, tingkat kerjasama dengan Kanada

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
10 hours ago
2 min read
DS Anwar (kiri) dan isteri DS Dr Wan Azizah disambut oleh Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr dan isterinya
DS Anwar (kiri) dan isteri DS Dr Wan Azizah disambut oleh Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr dan isterinya

Malaysia kekal komited memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju rantau ini, memperkukuh kesepakatan, memelihara keamanan dan kestabilan serantau

Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju ASEAN bagi memastikan rantau ini kekal bersatu, berdaya tahan serta dihormati di peringkat antarabangsa.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai antara negara pengasas ASEAN, Malaysia komited memperkukuh kesepakatan serantau selain memelihara keamanan dan kestabilan rantau berkenaan.


Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Sidang Kemuncak ASEAN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina (PICC), Manila, bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Majlis berkenaan dipengerusikan Presiden Filipina, Ferdinand R. Marcos Jr. selaku Pengerusi ASEAN.


"Malaysia kekal komited memainkan peranan aktif dalam menentukan hala tuju rantau ini, memperkukuh kesepakatan, memelihara keamanan dan kestabilan serantau.


"Malaysia akan terus berdiri teguh sebagai rakan serantau yang komited dalam membina ASEAN yang bersatu dan berdaya tahan, serta memastikan suara dan kepentingan rantau ini terus dihormati di persada antarabangsa," katanya dalam kenyataan di Facebook.


Perluas kerjasama dengan Kanada


Dalam perkembangan berkaitan, Anwar turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 bagi membincangkan hubungan dua hala serta perkembangan serantau dan antarabangsa.


DS Anwar berkesempatan bertemu  Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berbincang hubungan dua hala
DS Anwar berkesempatan bertemu  Perdana Menteri Kanada, Mark Carney berbincang hubungan dua hala

Menurut Anwar, perbincangan itu turut memberi tumpuan kepada usaha memperluas kerjasama perdagangan dan pelaburan, khususnya dalam sektor tenaga, ekonomi digital dan teknologi.


Beliau berkata, pertemuan itu juga menjadi ruang untuk berkongsi perkembangan ekonomi Malaysia selain meneroka potensi kerjasama baharu antara kedua-dua negara.


"Saya turut berkongsi perkembangan ekonomi Malaysia serta meneroka potensi kerjasama baharu, lebih-lebih lagi menjelang ulang tahun ke-70 hubungan diplomatik Malaysia-Kanada.


"Malaysia dan Kanada akan terus memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang terjalin demi manfaat dan kemakmuran kedua-dua negara," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page